GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul malah sambutan pada tahun ini akan diadakan tiga hari berturut-turut bermula 25 hingga 27 Februari, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim.
Abdul Malik berkata, laporan sebuah akhbar yang mendakwa Kerajaan Negeri membatalkan perarakan itu adalah tidak benar.
“Ia (perarakan) akan berjalan seperti biasa. Kerajaan tidak pernah umum nak batal perarakan Maulidur Rasul. Saya tidak faham mengapa laporan seperti ini dikeluarkan,” katanya.
Abdul Malik berkata, keputusan untuk mengadakan perarakan Maulidur Rasul sudah dibincangkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri sejak tiga bulan dahulu, bagaimanapun hanya baru-baru ini sahaja keputusan muktamad dibuat setelah jawatankuasa itu mengambil kira beberapa opsyen yang dicadangkan.
Menurutnya, tindakan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Jaipp) menyiarkan atur cara Majlis Perhimpunan Ummah Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang tidak menyertakan acara perarakan di laman sesawang jabatan itu sebelum ini, tidak menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.
“Sebagai Kerajaan Negeri yang masih baru, kami perlu meneliti beberapa opsyen tambahan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.
“Memandangkan isu sama ada hendak mengadakan perarakan atau tidak masih tidak diputuskan pada masa itu, Jaipp tidak boleh menunggu sehingga keputusan dicapai untuk menyiarkan atur cara itu sebagai hebahan kepada umum. Tindakan Jaipp tidak menyertakan acara perarakan dalam tentatif program bukan sebab dibatalkan Kerajaan Negeri,”katanya.
Mengenai isi program sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, Abdul Malik berkata, ia akan dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil di semua masjid di seluruh negeri pada malam 25 Februari.
Pada keesokan harinya, acara sambutan akan dimulakan dengan perarakan kontinjen Kerajaan Negeri yang bakal diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, diikuti perhimpunan ummah di Dewan Sri Pinang.
“Buat pertama kali juga, Kerajaan Negeri mengadakan Majlis Bacaan Kitab Sirah Rasulullah SAW pada 27 dan 28 Februari di Masjid Negeri.
“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan pameran ketamadunan Islam dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang di foyer Dewan Sri Pinang. Program ini julung kali diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul di negeri ini.
“Dengan penganjuran sambutan Maulidur Rasul selama tiga hari berturut-turut, Kerajaan Negeri berharap tiada lagi pihak tidak bertanggungjawab menfitnah kami dengan tuduhan anti Melayu dan anti Islam,”katanya.
No comments:
Post a Comment