Dua orang telah mempersoal kedudukan saya dalam KEADILAN. Mula-mula saya tidak berhasrat menjawab tuduhan liar mereka. Kini saya merasa perlu memberi sedikit penjelasan supaya mereka dan media yang dikuasai Umno tidak terus berbohong.
Keputusan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Keadilan Nasional (PKN) untuk bercantum dan membentuk Parti Keaadilan Rakyat telah dibuat dengan majoriti besar lebih dua-pertiga dalam Kongres dan Mesyuarat Agung tahunan masing-masing sekitar tahun 2002. PRM juga bersetuju untuk menutup parti. Berikutannya, Pimpinan Peralihan Keadilan Rakyat dibentuk dengan wakil-wakil dari dua-dua parti menganggotainya.
Pihak Pendaftar Pertubuhan telah melengah-lengahkan pendaftaran Parti baru ini. Jadi kami mengambil keputusan membawa perkara ini ke Mahkamah. Akhirnya Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan memihak kepada pendaftaran Parti. Pada 3hb Ogos Parti Keadilan Rakyat dilancarkan dengan rasminya.
Namun pihak ROS kelihatan liat hendak menerima keputusan majoriti lebih dua pertiga yang dibuat oleh Kongres PRM. Mereka membenarkan sekumpulan kecil serpihan untuk meneruskan PRM. Sebenarnya, beberapa orang pemimpin serpihan telah menyertai pimpinan peralihan Keadilan Rakyat. Mereka keluar apabila diberi peluang oleh ROS.
Itu sebabnya sepuluh orang bekas pemimpin PRM asal, termasuk saya, mencabar dalam mahkamah tindakan ROS itu. Kami tidak mengiktiraf “PRM” baru ini kerana ia bertentangan dengan keputusan Kongres PRM. Keputusan mahkamah tidak memihak kepda kami. Kumpulan serpihan kecil itu meneruskan parti. Namun mereka tidak pernah dapat menarik lebih dari 50 orang untuk menghadiri “kongres” tahunan mereka. Baru-baru ini Presiden mereka kembali ke pangkuan KEADILAN.
Jelas bahawa keputusan Kongres PRM menyetujui Percantuman kedua-dua Parti. Keputusan ini sepatutnya dipatuhi oleh semua anggota. Pimpinan peralihan KEADILAN bersetuju melantik saya sebagai Timbalan Presiden. Dua Kongres pemilihan KEADILAN (yang diadakan tiga tahun sekali) memperkukuhkan kedudukan saya.
Saya syorkan supaya mereka yang mempersoal kedudukan saya sebagai anggota dan Timbalan Presiden KEADILAN menulis secara rasmi kepada Parti. Lebih baik lagi, jika mempunyai apa-apa sokongan, mereka boleh mengemukakan resolusi dalam Kongres Keadilan akan dating agar menggantung keanggotaan saya, seperti salah seorang dari mereka mahu.
Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden, KEADILAN
No comments:
Post a Comment