...

Pages

Tuesday, December 7, 2010

ISU KETUANAN MELAYU: JANGAN LARI DARI PERSOALAN REKOD PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK


Saya merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dibuat berkenaan isu ketuanan rakyat, terutamanya dari kalangan pimpinan Umno.

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah kepada pimpinan Umno, PERKASA dan kaum-kerabat mereka yang tidak pernah gagal mengingatkan rakyat Malaysia bahaya politik perkauman sempit. Dalam satu minggu yang lepas, segala usaha pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui kempen 1Malaysia yang menelan belanja puluhan juta ringgit menggunakan wang rakyat; hancur musnah apabila pimpinan-pimpinan Umno dan PERKASA menunjukkan kembali wajah sebenar mereka. Tidak kira berapa banyak wang yang dibayar kepada perunding antarabangsa sekalipun, budaya perkauman sempit yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional tidak akan hilang kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada darah daging mereka.

Pun begitu, saya melahirkan rasa kesal kerana Umno dan PERKASA tidak mahu berdepan dengan gagasan yang dibawa oleh KEADILAN dalam Kongres Nasional Ke-7 baru-baru ini. Gagasan tersebut, seperti yang disampaikan oleh Presiden parti Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail, menyentuh mengenai mekanisme terbaik untuk membela orang Melayu. Persoalan yang dilontarkan oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah adalah mudah; iaitu kaedah bagaimana yang boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu yang akan dihormati dan bermaruah, dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita?

Kaedah sedia ada dibawa oleh Umno – iaitu mengabui mata rakyat mengenai hak mereka (melalui Umno) untuk terus berkuasa tidak kira prestasi mereka dan kebajikan rakyat keseluruhannya, terutamanya nasib
orang Melayu. Konsep “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan secara terbuka dan dibisikkan secara senyap ini oleh BTN dan agensi-agensi lain, menakut-nakutkan orang Melayu bahawa perubahan kerajaan kepada pakatan
politik yang lain akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Apabila orang Melayu hilang kuasa, maka nasib orang Melayu akan terjejas dan akan tertindas.

Sebab itu, saya menganggap bahawa tindakan Umno dan PERKASA mengheret institusi Raja-Raja Melayu dengan mentaklikkan “Ketuanan Melayu” sebagai “Ketuanan Sultan” adalah satu tindakan yang bacul di pihak
Umno dan PERKASA. Mereka tidak mampu berdepan dengan persoalan penting membicarakan kaedah terbaik membela orang Melayu terbanyak seperti yang ditimbulkan KEADILAN, lalu mereka cuba menggunakan institusi Raja-Raja Melayu. Tindakan seperti inilah sebenarnya yang menghina institusi Raja-Raja Melayu kerana ia tidak menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu yang memayungi seluruh rakyat jelata tidak mengira kaum, agama dan pegangan politik.

Namun, tindakan Umno dan PERKASA itu bukanlah perkara baru. Rekod mereka mencalarkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di mata rakyat sudah diketahui umum. Krisis-krisis perlembagaan yang melemahkan institusi Raja-Raja Melayu dalam tahun 1983 dan 1993 dicetuskan oleh Umno. Lebih malang, dalam kedua-dua siri krisis perlembagaan yang disusun oleh Umno itu, berlaku serangan-serangan yang bertujuan mengaibkan Raja-Raja Melayu dalam akhbar-akhbar dan media milik mereka. Ada beza yang besar diantara cakap-cakap seorang dua rakyat jelata yang dituduh mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, dengan satu gerakan tersusun yang dilaksanakan secara besar-besaran oleh sebuah parti politik yang mengaku mempertahankan Ketuanan Melayu.

Saya beri amaran supaya Umno dan PERKASA jangan lagi cuba memfitnah KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan pada 19 Disember 2009, secara jelas mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra dan institusi raja berpelembagaan.

Ini dinyatakan dalam Fasal 1 Perkara a(i) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153”; dan Fasal 1 Perkara a(ii) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan”.

Makanya, KEADILAN ingin membawa kembali polemik “Ketuanan Melayu” ini kepada perkara dasar yang diulas oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail – iaitu wacana kaedah terbaik untuk melahirkan anak bangsa Melayu yang beriman, boleh berdikari, berprinsip dan berdaya juang supaya mereka kekal bermaruah dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan arus globalisasi mutakhir.

Apakah kaedah Umno yang memperkecilkan kebolehan anak Melayu, dengan menakut-nakutkan mereka dan menimbulkan rasa curiga terhadap semua yang bukan Melayu, akan berjaya melahirkan anak bangsa Melayu yang bermaruah?

Apakah “Ketuanan Melayu” yang berpaksikan kepada sistem kroni dan mendokong rasuah dengan menghamburkan kekayaan negara kepada beberapa kroni rapat Umno (tanpa mengira kaum) akan melahirkan golongan peniaga Melayu yang berdaya maju? Apakah budaya rasuah yang berleluasa di dalam Umno akan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu tidak akan dijual suatu hari nanti?

Apakah anak bangsa Melayu yang membesar dengan perasaan curiga akan dapat mengambil pendekatan positif menunggang arus globalisasi untuk menjadi pemimpin antarabangsa?

Persoalan yang dibawa oleh KEADILAN adalah persoalan jatidiri dan kaedah terbaik membina jatidiri tersebut. Kaedah “Ketuanan Melayu” yang dibawa oleh Umno dan PERKASA bukan sahaja terbukti gagal membina jatidiri orang Melayu, malah menyebabkan kebajikan rakyat terbanyak (terutamanya golongan berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu) terabai.

Sehingga kini, selepas 3 dekad “Ketuanan Melayu”, 75% dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu. Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40%
paling miskin di Malaysia, seperti yang dihuraikan Perdana Menteri sendiri dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Selepas 3 dekad “Ketuanan Melayu”, rakyat terbanyak juga yang dibebankan dengan pemotongan subsidi sedangkan subsidi korporat sebanyak RM19 bilion setahun (dalam bentuk subsidi gas kepada penjana
bebas) tidak disentuh. Umno dan PERKASA tidak melahirkan sedikit keluhan pun apabila bantuan kepada rakyat termiskin, yang rata-ratanya orang Melayu ditarik setiap enam bulan untuk menampung perbelanjaan
boros kerajaan membayar perunding antarabangsa, sedangkan tidak ada satu mekanisme pun diperkenalkan untuk menyalurkan kembali rasionalisasi subsidi kepada golongan termiskin ini.

Justeru, KEADILAN yakin bahawa polemik “Ketuanan Melayu” ini adalah benteng terakhir Umno dan PERKASA yang kian rapuh dan ditolak rakyat. Demi melahirkan Malaysia yang majmuk, mengamalkan toleransi dan berdaya saing, KEADILAN akan konsisten membawa gagasan Ketuanan Rakyat
melalui bangsa yang bermaruah – kerana kami yakin gagasan ini tidak dapat dijawab oleh Umno dan PERKASA.

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

Friday, December 3, 2010

Surat KM P.Pinang kepada PM


"...Bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang, saya ingin menyampaikan hasrat dan minat Kerajaan Negeri untuk mengadakan satu perbincangan dengan pihak Kementerian Kewangan untuk membeli dan mengambilalih Penang Port. Kami amat menyokong penuh pengumuman yang dibuat Yang Amat Berhormat Dato' Sri bahawa setiap penswataan utama dan penganugerahan projek akan dilaksanakan dengan telus dan terbuka menerusi Tender Antarabangsa untuk memaksimumkan hasil, yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyertainya...."

2 Disember 2010

YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Jabatan Perdana MenteriBlok Utama, Bangunan Perdana Putra,Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,62502 Putrajaya, MALAYSIA

Yang Amat Berrhormat Dato' Sri,

HASRAT KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG UNTUK PENGAMBILALIHAN ATAU PENSWASTAAN PENANG PORT

Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas kepada Yang Amat Berhormat selaku Menteri Kewangan Malaysia, dengan ini ingin menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri di atas minat ke atas Penang Port Sdn Bhd (Penang Port). Merujuk kepada laporan media, baru-baru ini Kementerian Kewangan telah menerima kertas cadangan daripada pihak sektor swasta untuk mengambilalih dan membeli Penang Port, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan.

2. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang, saya ingin menyampaikan hasrat dan minat Kerajaan Negeri untuk mengadakan satu perbincangan dengan pihak Kementerian Kewangan untuk membeli dan mengambilalih Penang Port. Kami amat menyokong penuh pengumuman yang dibuat Yang Amat Berhormat Dato' Sri bahawa setiap penswataan utama dan penganugerahan projek akan dilaksanakan dengan telus dan terbuka menerusi Tender Antarabangsa untuk memaksimumkan hasil, yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyertainya.

3. Penang Port adalah aset strategik utama kepada pertumbuhan ekonomi bahagian utara Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta hasil cukai Negara. Pelabuhan yang berdaya maju dan moden amatlah diperlukan untuk menambah baik perkhidmatan akhir dan perantara seperti logistik dan perkhidmatan pelabuhan sebagai sebuah hab untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Sumatra Utara dan Selatan Thailand. Ianya juga dapat memanfaatkan kedudukannya yang hampir dengan populasi Islam yang terbesar dan kedua terbesar masing-masing di Indonesia dan China untuk menyediakan sebuah hab pengilangan halal bersepadu, dengan pemprosesan secara langsung dari pengilang pembuatan, logistik hinggalah ke peringkat penghantaran mutakhir.

4. Sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya dalam pembelian Penang Port, kami akan membawa masuk rakan teknologi asing dan tempatan, khasnya Melayu Pulau Pinang tempatan, untuk mengendali pelabuhan tersebut dan kemudahannya ke tahap bertaraf antarabangsa. Jika perlu, kami akan menawarkan ekuiti kepada rakan teknologi asing pada harga pasaran. Pemilikan ekuiti akan mencipta suatu jajaran kepentingan yang selari antara semua pihak agar pengurusan pelabuhan dapat dibuat dengan cara bertaraf antarabangsa. Kami telah mengenal pasti beberapa rakan strategik kelas dunia dan tempatan tetapi akan meneruskannya melalui proses tender terbuka untuk menggalakkan ketelusan dan mendapatkan urus niaga terbaik. Sejajar dengan nama baik dan semangat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri akan turut menawarkan ekuiti kepada Kerajaan Persekutuan (tentunya pada harga diskaun yang bersesuaian daripada harga terbitan pembekal teknologi asing).

5. Di samping itu, kami juga ingin mencadangkan agar diwujudkan satu Lembaga Penasihat yang terdiri daripada pelbagai tokoh terkemuka daripada Malaysia dan juga antarabangsa yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan, keupayaan dan kelayakan di dalam pengurusan pelabuhan, perdagangan antarabangsa dan logistik. Lembaga Penasihat ini akan dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri bersama-sama dengan wakil daripada Kerajaan Negeri.

6. Di bawah pemilikan baru ini, Penang Port akan mengguna pakai tatacara urus tadbir yang bertaraf antarabangsa selaras dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) serta pengurusan tender terbuka untuk semua kelulusan projek dan perolehan dalam usaha untuk mendapatkan nilai terbaik. Seiring dengan Lembaga Penasihat, ini akan mengekalkan "checks and balances" di dalam Penang Port.

7. Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjangkakan pulangan yang berterusan melalui pelbagai pelaburan ekonomi yang berhubungkait dengan Penang Port. Pulangan ini akan disalurkan semula untuk pembangunan strategik dan lain-lain projek sosial yang berkaitan dengan kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan pembasmian kemiskinan untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana kemakmuran rakyat Pulau Pinang.

8. Sekiranya Yang Amat Berhormat Dato' Sri ingin mendapatkan sebarang butiran lanjut, saya amat berbesar hati untuk membuat pembentangan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Sri mengikut kelapangan Yang Amat Berhormat Dato' Sri untuk menggariskan sepenuhnya struktur, strategi dan mekanisma rancangan Kerajaan Negeri untuk Penang Port. Sekiranya diberi kebenaran untuk menyertai mana-mana jualan Penang Port, Kerajaan Negeri percaya bahawa Yang Amat Berhormat Dato' Sri akan memberi sokongan sepenuhnya ke atas inisiatif Kerajaan Negeri ke arah penjanaan ekonomi yang mampan dalam jangka sederhana dan panjang, yang boleh disalurkan semula kepada pembangunan strategik dan projek sosial bagi menambah baikkan kehidupan rakyat Pulau Pinang.

9. Malah, ini bukan sahaja seiringan dengan program transformasi ekonomi Yang Amat Berhormat Dato' Sri, malahan ianya juga sejajar dengan wawasan Yang Amat Berhormat Dato' Sri untuk menyatukan semua rakyat Malaysia ke arah satu entiti ekonomi dan politi politik.

Sekian, terima kasih.

"CEKAP, AKAUNTABILITI DAN TELUS"

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT