...

Pages

Sunday, September 13, 2009

MPPP janji selesai isu tapak buang sampah -malaysiakini

BATU MAUNG – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berjanji akan menyelesaikan masalah tapak pembuangan sampah di Batu Maung untuk memudahkan proses pelupusan sisa yang semakin bertimbun di negeri ini.

Yang Dipertua MPPP, Tan Cheng Chui berkata, pihaknya memahami masalah yang berlaku di tapak pembuangan sampah itu semakin sempit.

“Tindakan alternatif akan diambil untuk menangani masalah ini. Sampah–sarap dibuang menggunakan dua cara iaitu melalui jalan darat dengan kontena sampah terus ke Pulau Burung untuk dilupuskan. Satu lagi cara ialah dengan mengangkut kontena sampah terus ke sana menggunakan bot,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa MPPP sedang menunggu kelulusan untuk mengangkut sampah menggunakan tongkang bagi melancarkan lagi proses pelupusan.

“Penggunaan tongkang yang ditutupi kanvas lebih mudah kerana mampu membawa muatan sebanyak 300 hingga 400 tan sampah sekali perjalanan berbanding kontena yang hanya mampu membawa 7 hingga 8 tan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak pembuangan sampah di sini, semalam bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik. .

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa faktor cuaca memburukkan lagi keadaan di tapak pembuangan sampah tersebut.

“Selain cuaca yang tidak menentu, beberapa jalan yang semakin rosak akibat dilalui kenderaan berat setiap hari juga membuatkan masalah yang dihadapi bertambah rumit. Malah, ada juga lori sampah yang terbalik disebabkan jalan yang tidak elok,” katanya.

Selain itu, beliau akan berbincang dengan syarikat kontraktor, Idaman Bersih mengenai pembukaan tapak baru bagi menampung sampah yang semakin banyak.

“ Pembukaan kawasan baru akan dapat mengatasi masalah ini kerana banyak masa dan tenaga dapat dijimatkan apabila tapak tersebut berhampiran dengan jeti. Tidak perlu lori sampah berulang–alik untuk membawa muatan sebelum dilupuskan di Pulau Burung,” katanya.

Dua hari lalu, Sinar Harian melaporkan puluhan lori sampah terpaksa membuang sampah di Jelutong kerana pusat pembuangan di Batu Maung ditutup buat sementara waktu.

Kekecohan mulai timbul apabila pemandu lori terpaksa menunggu empat jam sebelum pintu pagar tapak pembuangan sampah dibuka bagi membolehkan sisa pepejal dibuang.

Pengerusi Eurasia Express, Kenny Yeoh pula berkata, masalah yang berlaku di tapak pembuangan tidak menjejaskan jadual kutipan sampah dari rumah ke rumah.

“ Jadual kutipan sampah turut ditingkatkan," katanya.

petikan dari sinar harian

No comments:



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT