Kekecohan yang dilakukan oleh beberapa individu yang bertindak agresif di majlis dialog mencari jalan penyelesaian isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam amat mendukacitakan. Sekali lagi, ia dilakukan oleh kelompok yang sama dengan dalam demonstrasi kepala lembu yang lalu. Ia juga dilakukan di bulan Ramadhan Al-Kareem ini yang seharusnya menjadi medan tarbiyyah dan latihan untuk kita bersabar dan bijaksana dalam menyelesaikan segala kekusutan.
- “Janganlah kamu berbantah-bantah nanti kamu lemah (kalah) serta hilang kekuatanmu dan hendaklah kamu berhati sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar”. (Al-Anfal (8):46).
- “ Dan orang-orang yang menyambut perintah Tuhannya, serta mereka mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.. “ (Surah As-Syura (42): 38)
Gelagat agresif, provokatif dan minda tertutup yang dipamirkan menggambarkan wujudnya ciri-ciri yang berikut:
- Sememangnya telah ditanam prasangka buruk (su’ al-zann) lebih awal sebelum dari sesi dialog bermula.
- Niat mereka menghadirinya bukan untuk mencari penyelesaian. Malah, berkemungkinan besar dengan niat buruk (mala fide) untuk mencemar imej Kerajaan Pakatan Rakyat dan kepimpinan Menteri Besarnya demi tujuan tersirat tertentu pada jangka panjang.
Nyata sekali, sikap Menteri Dalam Negeri yang mempertahankan tindakan mereka, menjadikan mereka lebih ‘besar kepala’ bagaikan ‘kaduk naik junjung.’ Apatah lagi, tindakan mereka yang disokong pula oleh Perdana Menteri sendiri kemudiannya - yang mendakwa bahawa kerajaan Pakatan telah mulai hilang kepercayaan rakyat. (Apakah pula komen Dato' Seri Najib dengan keberanian lebih 20,000 rakyat yang berdemonstrasi secara beradab menyuarakan pandangan mereka dalam ISA baru-baru ini? ).
Kesediaan pihak Tan Sri Khalid Ibrahim, sebagai Menteri Besar dan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mengadakan dialog seharusnya mendapat penghargaan sewajarnya. Jelaslah, ia dilakukan dengan niat murni untuk menyelesaikan konflik secara berlapang dada dan bertamadun. Pihak Menteri Besar boleh memilih untuk tidak menghadirinya dan meminta pihak lain sebagai ganti. Mungkin tanggungjawab tersebut lebih sesuai ditangani oleh pihak Mufti Kerajaan Negeri dan Datuk Bandaraya Shah Alam sendiri. Maka, sewajarnyalah peluang seperti ini diambil kesempatan sebaiknya oleh mereka yang tidak puas hati. Prinsip mencari penyelesaian konflik orang Melayu adalah ‘bagaikan menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.’
Malangnya, ini tidak berlaku. Anehnya, kekecohan dilakukan oleh mereka yang mendakwa diri layak menjadi ‘TUAN’ kepada orang lain berasaskan konsep ‘Ketuanan Melayu’ yang mereka perjuangkan. Bolehkah mereka nanti menjadi adil dan bijaksana andai diamanahkan tanggungjawab lebih besar memimpin negara di masa depan? Apakah mereka sendiri sudah lupa dengan Kempen Budi Bahasa, penghayatan Rukun Negara dan Wawasan 2020 yang dilagangkan begitu gah selama ini? Satu hal lagi, kita tidak pula kedengaran pandangan para mufti dan pemuka agama negara - yang lazim dan aktif memberikan fatwa selama ini - dalam isu demonstrasi kepala lembu ini. Di manakah keadilan kalian? Wallahu a’lam.
DR.MUHAMMAD NUR MANUTY
Pengerusi,
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama
Parti Keadilan Rakyat
No comments:
Post a Comment