Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil bahawa dasar sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita dari jumlah kedudukan pimpinan adalah berasal dari beliau, jelas menyalahi fakta, yang dikira menjejaskan imej beliau sebagai seorang yang bertaraf Menteri.
Dasar 30% perwakilan wanita tersebut telah diterbitkan dalam Persidangan Wanita peringkat Dunia di Beijing lebih sedekad yang lalu. Ia merupakan suatu kesepakatan yang telah diterjemahkan dalam Deklarasi Beijing di mana Malaysia menjadi salah sebuah negara penandatangan. Perkara 182 dalam Platform for Action, di mana terdapat kuota minimum 30% itu, adalah perkara khusus yang disebut dalam Deklarasi Beijing.
Walaupun pernah menjawat kedudukan sebagai Menteri dan tergolong di antara pemimpin utama dalam Umno dan Barisan Nasional, Sharizat Abdul Jalil tidak mampu meningkatkan bilangan Menteri dalam Kabinet Umno-BN.
Oleh kerana Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming) dalam sistem pemerintahan Umno-BN tidak berlaku, akibat yang ketara ialah kemorosotan dalam perlaksanaan sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita dalam kepimpinan negara khususnya dalam Barisan Kabinet Menteri. Begitulah prestasi Shahrizat Abdul Jalil dalam menerajui agenda untuk melaksanakan pencapaian 30% perwakilan wanita.
Budaya politik yang mencatas ahli-ahli politik yang berpengalaman dan berwibawa juga telah mengheret Wanita Umno ke kancah kemorosotan bilangan para menteri dan ahli-ahli pimpinan tertinggi dalam Umno. Sewajarnya pemimpin wanita Umno yang berkaliber dan berpengalaman dibawa dalam saf pimpinan untuk meneruskan agenda mengarusperdanakan gender bukan dipinggirkan.
Umno, sebagai parti utama BN telah gagal memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada wanita sebagai agen yang layak dan penting dalam bersama-sama merangka dan menggubal dasar dan keputusan-keputusan penting dalam negara dan parti. Sebagai seorang Menteri, Sharizat Abdul Jalil dikehendaki mengotakan janji beliau dengan bertindak progresif menjadikan dasar 30% perwakilan wanita ini suatu kenyataan dalam pentadbiran negara. Ia harus dilakukan dalam tempoh enam bulan mendatang atau beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
YB HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ketua Wanita KEADILAN
No comments:
Post a Comment