...

Pages

Saturday, June 6, 2009

Tawar RM10,000 untuk maklumat rasuah:Lim Guan Eng-Malaysiakini

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memulakan kempen anti rasuah pentadbiran kerajaannya dengan menawarkan wang tunai RM10,000 kepada kakitangan awam yang bersedia dan mampu memberikan maklumat mengenai kegiatan rasuah di negeri itu.

"Saya mahu menggalakkan orang ramai tampil ke hadapan," kata ketua menteri itu kepada Malaysian Insider dalam satu wawancara melalui telefon.

Dengan menggelarkan skim pemberi maklumat itu sebagai "i-Awards" (Anugerah Integriti), Lim memberitahu beliau telah menerima beberapa laporan tanpa nama daripada kakitangan kerajaan sebelum membuat tawaran tersebut 2 Jun lalu.

Lim bagaimanapun enggan menyatakan berapakah jumlah laporan yang telah diterimanya. Tetapi beliau menambah bahawa beliau akan memberikan ganjaran tersebut "tidak lama lagi".

Selain insentif wang tunai, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, mereka yang membantu pentadbirannya dengan memberikan maklumat akan diberi prioriti untuk kenaikan pangkat.

Dalam perkembangan yang lain, menurut laporan Bernama, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyeru Kerajaan Pusat mengadakan tender terbuka bagi penjualan bekalan perubatan di negara ini.

Menurut Lim, negara ini kerugian kira-kira RM10 bilion setahun hasil penglibatan orang tengah dalam industri tersebut.

"Kita mahu membeli produk yang paling berkualiti dengan harga yang paling baik. Saya akan menulis kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kesihatan, menggesa supaya diadakan tender terbuka dalam hal penjualan bekalan perubatan," katanya kepada pemberita di Bayan Lepas baru-baru ini.

Katanya lagi, pihak hospital membayar sehingga lebih 30 peratus untuk bekalan perubatan kerana syarikat perubatan multinasional terpaksa melalui syarikat yang diluluskan untuk menjual produk mereka.

"Adalah lebih murah sekiranya pihak hospital dibenarkan membeli bekalan terus daripada syarikat pembekal," katanya.

No comments:



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT