...

Pages

Friday, August 13, 2010

PROJEK BAKUN: SUBSIDI KORPORAT DITERUSKAN, SUBSIDI RAKYAT DIAMBIL


Saya memandang dengan serius laporan-laporan mutakhir yang menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun kerana begitu banyak wang rakyat telah disalurkan ke projek ini sejak sedekad yang lalu.


Berdasarkan laporan, jumlah kos keseluruhan dijangkakan akan meningkat akibat beberapa kelewatan projek. Kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 billion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 billion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Kedua-dua pinjaman ini juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.


Sikap tidak peduli Perdana Menteri yang membiarkan wang rakyat terus digunakan di dalam projek Empangan Bakun adalah sangat bertentangan dengan pendapat beliau mengenai subsidi minyak dan gula. Beliau seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek ini, tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula – sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat yang digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini.


Sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10% dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun. Projek ini juga telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.


Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan). Laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri. Perbezaan ini memungkinkan Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion apabila projek diserahkan kelak.


Siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion ini? Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 billion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?


Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi. Di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbillion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.


Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat. Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 billion itu perlu ditanggung oleh rakyat.


Rakyat berhak tahu terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.


YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

KETUA PEMBANGKANG

13 OGOS 2010

No comments:

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT