...

Pages

Friday, September 18, 2009

Ucapan Aidilfitri 2009 YB Pn. Hjh. Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang & Ketua Wanita KEADILAN


Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Maha suci Allah, Tuhan yang menciptakan seluruh umat manusia, dan melimpahkan kenikmatan Iman dan Islam kepada kita semua. Alhamdulillah, pada tahun ini kita berkesempatan lagi untuk meraikan Syawal yang mulia, selepas bulan Ramadhan mengasuh diri kita untuk rapat dengan Al-Quran serta menyemarakkan lagi jihad dalam melaksanakan seluruh ajaran Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan madrasah Ramadhan yang baru kita tinggalkan memberi kesan yang cukup bermakna sebagai bekalan menjalani kehidupan selepas ini.

Ambillah peluang terbaik pada kesempatan hari yang mulia ini untuk saling mengunjungi dan bermaaf-maafan serta mengeratkan silaturrahim sesama keluarga, kenalan dan jiran. Raikanlah bulan kemenangan ini dengan memperbanyakan ibadah dan amalan kita sebagai tanda mensyukuri nikmatNya.

Saya juga mengambil kesempatan di hari yang mulia ini untuk menyeru agar umat Islam khususnya di Malaysia untuk kembali mendalami dan memahami ajaran dan tarbiyyah Islam yang sebenar dari kaca mata Al-Quran dan Sunnah. Iaitu bahawa Islam ini adalah syumul dan diperturunkan kepada umat manusia seluruhnya, dengan mengangkat toleransi dan mengutamakan hikmah dalam perlaksanaan dakwah, syariah dan segala perihal urusan sesama manusia. Tidak pernah Islam itu bersikap zalim dan menghina apatah lagi memecah belahkan perpaduan masyarakat dari kalangan penganut yang berbeza fahaman agamanya. Allah s.w.t mengangkat darjat hambaNya dengan ukuran Iman bukan kekayaan, pengaruh apatah lagi kaum dan bangsanya. Jauhilah diri kita daripada menjadi pejuang Asobiyah. Jangan terperangkap dengan jerat perkauman yang membawa derita dunia akhirat. Ingatlah sebuah hadis daripada Jabir bin Mut’im:

قال الرسول e : لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ ولَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ على عَصَبِيَّةٍ و لَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ على عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya: Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada asobiyah, bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang atas dasar asobiyah dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati atas dasar asobiyah.


Oleh itu, perkukuhkanlah perpaduan kita sesama masyarakat dengan meletakkan keadilan pada tempatnya yang haq. Saya ingin turut mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak terutama sekali para pengundi di kawasan Ampang, Ahli-ahli EXCO Wanita Parti Keadilan Rakyat, Ahli-ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Parti, Jabatan-jabatan Kerajaan, pihak media dan kesemua pihak yang telah memberi kerjasama terbaik mereka.

Akhir kata, saya selaku Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat dan juga Ahli Parlimen Ampang ingin mengucapkan Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada kesemua rakyat Malaysia. Mudah-mudahan cahaya Syawal pada tahun ini dapat menyerikan dan menambah erat hubungan sesama kita. Sekiranya terdapat keterlanjuran kata ataupun perbuatan yang tidak disengajakan, saya menyusun jari memohon kemaafan daripada semua. Sekian, terima kasih.

“Kullu ‘Am Wa Antum Bi Khair”


HJH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ketua Wanita KEADILAN
Ahli Parlimen Ampang

No comments:

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT