...

Pages

Saturday, April 18, 2009

Larangan merokok di bangunan DUN -malaysiakini

GEORGETOWN - Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kini menjadi kawasan larangan merokok.

Ia menjadi bangunan pertama di negara ini yang mengisytiharkan larangan merokok ke atas semua pengunjung yang berada di dalam bangunan itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Abdul Halim Hussain berkata, ia adalah satu langkah keselamatan yang dibuat menjelang persidangan DUN Pulau Pinang pada 20 April ini.

Menurutnya, keseluruhan kawasan termasuk tempat meletak kenderaan dan jalan raya dalam kawasan bangunan DUN adalah kawasan bebas asap rokok.

"Tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melanggar peraturan ini. Peraturan tetap peraturan dan akan diambil tindakan. Malah wartawan juga tidak terlepas daripada dikenakan larangan ini," katanya pada sidang media di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, kakitangan kerajaan termasuk pasukan beruniform akan dipantau 24 jam bagi memastikan mereka patuh pada perintah larangan merokok.

Beliau berkata, kakitangan kerajaan akan dikenakan tindakan tata tertib serta denda RM500 sekiranya didapati merokok di tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

"Malah jumlah denda akan dinaikkan lagi sekiranya mereka mengulangi kesalahan yang sama. Jika gagal membayar denda, kes mereka akan dirujuk ke mahkamah," katanya.

Menurutnya, larangan itu sebagai menyokong kempen 'Tak Nak' yang dilancarkan oleh Kerajaan Pusat.

"Tidak kira sama ada kakitangan kerajaan atau wakil rakyat pemerintah mahupun pembangkang, tindakan yang sama tetap akan diambil. Ini adalah salah satu cara untuk menyedarkan orang ramai mengenai bahaya merokok dan kesannya kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata, kawasan empangan juga akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk Empangan Teluk Bahang, Empangan Mengkuang dan Empangan Air Itam.

No comments:



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT