...

Pages

Tuesday, December 7, 2010

ISU KETUANAN MELAYU: JANGAN LARI DARI PERSOALAN REKOD PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK


Saya merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dibuat berkenaan isu ketuanan rakyat, terutamanya dari kalangan pimpinan Umno.

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah kepada pimpinan Umno, PERKASA dan kaum-kerabat mereka yang tidak pernah gagal mengingatkan rakyat Malaysia bahaya politik perkauman sempit. Dalam satu minggu yang lepas, segala usaha pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui kempen 1Malaysia yang menelan belanja puluhan juta ringgit menggunakan wang rakyat; hancur musnah apabila pimpinan-pimpinan Umno dan PERKASA menunjukkan kembali wajah sebenar mereka. Tidak kira berapa banyak wang yang dibayar kepada perunding antarabangsa sekalipun, budaya perkauman sempit yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional tidak akan hilang kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada darah daging mereka.

Pun begitu, saya melahirkan rasa kesal kerana Umno dan PERKASA tidak mahu berdepan dengan gagasan yang dibawa oleh KEADILAN dalam Kongres Nasional Ke-7 baru-baru ini. Gagasan tersebut, seperti yang disampaikan oleh Presiden parti Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail, menyentuh mengenai mekanisme terbaik untuk membela orang Melayu. Persoalan yang dilontarkan oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah adalah mudah; iaitu kaedah bagaimana yang boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu yang akan dihormati dan bermaruah, dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita?

Kaedah sedia ada dibawa oleh Umno – iaitu mengabui mata rakyat mengenai hak mereka (melalui Umno) untuk terus berkuasa tidak kira prestasi mereka dan kebajikan rakyat keseluruhannya, terutamanya nasib
orang Melayu. Konsep “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan secara terbuka dan dibisikkan secara senyap ini oleh BTN dan agensi-agensi lain, menakut-nakutkan orang Melayu bahawa perubahan kerajaan kepada pakatan
politik yang lain akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Apabila orang Melayu hilang kuasa, maka nasib orang Melayu akan terjejas dan akan tertindas.

Sebab itu, saya menganggap bahawa tindakan Umno dan PERKASA mengheret institusi Raja-Raja Melayu dengan mentaklikkan “Ketuanan Melayu” sebagai “Ketuanan Sultan” adalah satu tindakan yang bacul di pihak
Umno dan PERKASA. Mereka tidak mampu berdepan dengan persoalan penting membicarakan kaedah terbaik membela orang Melayu terbanyak seperti yang ditimbulkan KEADILAN, lalu mereka cuba menggunakan institusi Raja-Raja Melayu. Tindakan seperti inilah sebenarnya yang menghina institusi Raja-Raja Melayu kerana ia tidak menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu yang memayungi seluruh rakyat jelata tidak mengira kaum, agama dan pegangan politik.

Namun, tindakan Umno dan PERKASA itu bukanlah perkara baru. Rekod mereka mencalarkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di mata rakyat sudah diketahui umum. Krisis-krisis perlembagaan yang melemahkan institusi Raja-Raja Melayu dalam tahun 1983 dan 1993 dicetuskan oleh Umno. Lebih malang, dalam kedua-dua siri krisis perlembagaan yang disusun oleh Umno itu, berlaku serangan-serangan yang bertujuan mengaibkan Raja-Raja Melayu dalam akhbar-akhbar dan media milik mereka. Ada beza yang besar diantara cakap-cakap seorang dua rakyat jelata yang dituduh mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, dengan satu gerakan tersusun yang dilaksanakan secara besar-besaran oleh sebuah parti politik yang mengaku mempertahankan Ketuanan Melayu.

Saya beri amaran supaya Umno dan PERKASA jangan lagi cuba memfitnah KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan pada 19 Disember 2009, secara jelas mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra dan institusi raja berpelembagaan.

Ini dinyatakan dalam Fasal 1 Perkara a(i) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153”; dan Fasal 1 Perkara a(ii) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan”.

Makanya, KEADILAN ingin membawa kembali polemik “Ketuanan Melayu” ini kepada perkara dasar yang diulas oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail – iaitu wacana kaedah terbaik untuk melahirkan anak bangsa Melayu yang beriman, boleh berdikari, berprinsip dan berdaya juang supaya mereka kekal bermaruah dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan arus globalisasi mutakhir.

Apakah kaedah Umno yang memperkecilkan kebolehan anak Melayu, dengan menakut-nakutkan mereka dan menimbulkan rasa curiga terhadap semua yang bukan Melayu, akan berjaya melahirkan anak bangsa Melayu yang bermaruah?

Apakah “Ketuanan Melayu” yang berpaksikan kepada sistem kroni dan mendokong rasuah dengan menghamburkan kekayaan negara kepada beberapa kroni rapat Umno (tanpa mengira kaum) akan melahirkan golongan peniaga Melayu yang berdaya maju? Apakah budaya rasuah yang berleluasa di dalam Umno akan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu tidak akan dijual suatu hari nanti?

Apakah anak bangsa Melayu yang membesar dengan perasaan curiga akan dapat mengambil pendekatan positif menunggang arus globalisasi untuk menjadi pemimpin antarabangsa?

Persoalan yang dibawa oleh KEADILAN adalah persoalan jatidiri dan kaedah terbaik membina jatidiri tersebut. Kaedah “Ketuanan Melayu” yang dibawa oleh Umno dan PERKASA bukan sahaja terbukti gagal membina jatidiri orang Melayu, malah menyebabkan kebajikan rakyat terbanyak (terutamanya golongan berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu) terabai.

Sehingga kini, selepas 3 dekad “Ketuanan Melayu”, 75% dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu. Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40%
paling miskin di Malaysia, seperti yang dihuraikan Perdana Menteri sendiri dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Selepas 3 dekad “Ketuanan Melayu”, rakyat terbanyak juga yang dibebankan dengan pemotongan subsidi sedangkan subsidi korporat sebanyak RM19 bilion setahun (dalam bentuk subsidi gas kepada penjana
bebas) tidak disentuh. Umno dan PERKASA tidak melahirkan sedikit keluhan pun apabila bantuan kepada rakyat termiskin, yang rata-ratanya orang Melayu ditarik setiap enam bulan untuk menampung perbelanjaan
boros kerajaan membayar perunding antarabangsa, sedangkan tidak ada satu mekanisme pun diperkenalkan untuk menyalurkan kembali rasionalisasi subsidi kepada golongan termiskin ini.

Justeru, KEADILAN yakin bahawa polemik “Ketuanan Melayu” ini adalah benteng terakhir Umno dan PERKASA yang kian rapuh dan ditolak rakyat. Demi melahirkan Malaysia yang majmuk, mengamalkan toleransi dan berdaya saing, KEADILAN akan konsisten membawa gagasan Ketuanan Rakyat
melalui bangsa yang bermaruah – kerana kami yakin gagasan ini tidak dapat dijawab oleh Umno dan PERKASA.

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

No comments:

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT