Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap meneruskan program penghargaan kepada warga emas dengan memberi sumbangan wang tunai sebanyak RM100 kepada mereka yang berusia 60 tahun dan RM1,000 kepada waris warga emas yang kematian ibu dan bapa.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng, ketika menyampaikan sumbangan kepada 123 waris warga emas yang meninggal dunia dalam satu majlis yang telah diadakan di Yayasan Aman, Penanti baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut sebanyak RM123,000 telah disumbangkan kepada waris warga emas yang berdaftar dengan kerajaan negeri sebagai penerima sumbangan yang telah diperuntukkan.
"Walaupun sebelum ini timbul dakwaan dari Umno dengan pelbagai andaian, kita yakin rakyat terutamanya warga emas tidak akan terpedaya dengan motif politik mereka. Sehingga sekarang kita tidak menerima sesen pun wang yang mereka dakwa dipulangkan oleh warga emas sepertimana yang diuar-uarkan.
"Kita juga sangsi dan ragu kenapa begitu lama mereka mengambil masa untuk memulangkan wang yang mereka dakwa dikutip dari senarai warga emas yang telah pun mereka lakukan sebelum ini dalam beberapa siri program bikinan mereka sendiri," ujarnya lagi.
Lim juga berkata, jumlah warga emas yang mendaftar dengan kerajaan negeri bagi menerima sumbangan dalam program penghargaan warga emas adalah melebihi 120,000 orang.
"Oleh kerana Umno melihat sokongan yang diterima oleh kerajaan negeri dalam program penghargaan ini begitu memberansangkan serta menggugat kedudukan mereka, maka pelbagai cara yang akan mereka lakukan bagi mengganggu-gugat program yang telah direncanakan.
"Bagi warga emas yang beragama Islam, janganlah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan Umno dan BN yang cuba memainkan sentimen kaum dan agama dengan menuduh kerajaan negeri memberi sumbangan dari sumber yang tidak halal.
No comments:
Post a Comment