...

Pages

Tuesday, December 22, 2009

Pendaftaran PR: KDN masih membisu - Zaid Ibrahim


KUALA LUMPUR: Walaupun permohonan untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai suatu entiti gabungan yang sah telah dipohon hampir dua bulan lalu, tetapi sehingga kini perkara itu masih tergantung dan tiada kata putus daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sekretariat PR, Datuk Zaid Ibrahim berkata, PR masih lagi menanti kenyataan rasmi daripada KDN yang diterajui oleh Hishammudin Hussein yang juga Naib Presiden Umno.

Menurutnya, antara perkara penting yang terkandung dalam permohonan itu ialah PR berkemungkinan besar menggunakan Satu Lambang bersama pada pilihanraya umum (PRU) akan datang bagi menentang rejim BN.

Beliau turut menafikan bahawa antara kelewatan permohonan itu ada kaitan dengan jumlah komponen PR yang hanya diwakili oleh tiga parti iaitu PAS,DAP dan PKR.

"Tiga parti pun cukup untuk mendaftarkan PR dan tiada syarat minima tertentu yang diperlukan," katanya yang kini berada di Sabah.

Dalam pilihanraya kecil (PRK) Bagan Pinang yang lalu, parti dari DAP dan PKR dilarang untuk menggantung bendera parti masing-masing oleh SPR atas alasan parti itu tidak bertanding seterusnya mengekang pergerakan kedua-dua parti itu untuk membantu calon PAS yang bertanding walaupun ketiga-tiga parti itu bergabung atas nama PR.

Terdahulu, Ketua pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Md Alias Kalil dalam satu kenyataan menjelaskan, PR boleh mendaftar sebagai sebuah parti gabungan kerana syarat tujuh anggota yang digariskan tidak terpakai bagi parti politik.

Katanya, syarat itu hanya terpakai untuk pertubuhan tidak berstatus kebangsaan yang ingin menjadi pertubuhan kebangsaan sedangkan parti politik sudah berstatus nasional.

Pendaftaran PR sebagai sebuah entiti politik sebenarnya akan membolehkan gabungan itu mengatasi pelbagai kekangan SPR termasuk peraturan bahawa parti-parti yang tidak bertanding dilarang menaikkan bendera mereka pada sesuatu pilihanraya kecil.

Ini menghalang PKR, PAS dan DAP membantu sesama mereka secara berkesan apabila satu daripada tiga parti itu bertanding menentang rejim BN yang merupakan parti berdaftar dengan 14 anggota sekutunya.

Pendaftaran rasmi PR akan menandakan bermulanya sistem politik yang berteraskan dwi-parti sebagaimana di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Walaupun menjadi sasaran laporan berat sebelah dan fitnah oleh media arus perdana di samping menangani pelbagai kemelut dalaman, hubungan rapat antara PKR, PAS dan DAP membolehkan gabungan itu menang tujuh daripada sembilan pilihanraya kecil sejak Mac tahun lalu.

Sekretariat PR turut diwakili oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Rasah, Anyhony Loke Siew Fook dari DAP.

No comments:



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT