...

Pages

Monday, August 31, 2009

Perutusan Hari Kemerdekaan Negara Ke-52 Presiden PAS

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita9/presidenpas.JPGBersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.

Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.

Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.

Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.

Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta’ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.

Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dan ‘obor’ kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi’e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub’ie yang terkenal.

Kata Rubie, ”Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT”. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat”.

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.

Sekian, Wassalam

Perjuangan Menuntut Kemerdekaan Belum Selesai –

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Perutusan Kemerdekaan: Semangat Kemerdekaan Menyanggah Perhambaan dan Membina Keyakinan Baru-malaysiakini


Apabila mendekati tarikh 31hb Ogos, ingatan kita akan mengimbas kembali rentetan peristiwa dan perjuangan rakyat yang berkemuncak dengan Kemerdekaan. Tarikh tersebut terungkap sebagai tarikh keramat ,menjanjikan kebebasan daripada cengkaman penjajah dan menyelamatkan martabat hidup rakyat.

Persoalan yang menerjah kita semua ialah; bagaimana kita menghayati makna tarikh tersebut hari ini. Pergulatan ini menjadi penentu kepada persoalan makna diri kita sebagai rakyat Malaysia.Tekad baru untuk memahami makna diri Malaysia sebagai bangsa merdeka juga menuntut kita untuk memahami bagaimana kita menjadi tidak merdeka; bagaimana kita hilang kemerdekaan sebelum kita memperolehinya kembali.

Lebih dua ribu tahun yang lalu, Brutus bertanya warga Kota Rom “siapakah yang begitu hina sehingga mahu hidup sebagai hamba ?” Ceasar mahu memiliki kuasa yang tidak terbatas. Nafsunya sebegitu besar dan mahu memastikan Rom dalam genggamannya.

Pertentangan antara Brutus dengan Ceaser adalah pertentangan antara kebebasan menentang nafsu kekuasan tidak terbatas. Sejak negara kita merdeka kita masih bergelut dengan pertentangan ini. Kebebasan – kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan institusi kehakiman sentiasa mahu disekat oleh penguasa. Oleh itu kita menginsafi hanya bangsa yang pernah melalui gelita penjajahan akan mengerti makna cahaya kemerdekaan. Bagitu juga, hanya diri yang pernah kebebasannya diragut akan menghargai nilai kebebasan.

Syarahan Perdana Professor Dr. Syed Muhammad Naguib al-Attas yang berjudul Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu juga menghuraikan dengan panjang lebar peranan paksi tauhid sebagai aqidah menambat keyakinan baru yang menolak faham tahyul dan perhambaan, seterusnya menjadi pelantar kepada pemikiran yang berakar dengan tradisi aqliyah dan mencernakan budaya segar dengan bahasa Melayu sebagai pertuturan kepustakaan(lingua franca) rantau ini. Ratusan tahun berlalu yang sewajarnya tambah memperkukuh dan memantapkan semangat dan keyakinan baru tersebut.

Cantik sungguh puteri Palembang,
Sayang bersunting bunga pudak;
Betapa keras dilambung gelombang,
Kucacak tiang, kulayar jua.

Manakala melangkaui separuh abad kemerdekaan, kita rakyat Malaysia sewajarnya mempunyai kesedaran betapa Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa pasar, bahasa komunikasi basahan untuk berjual beli. Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa tamadun dan bahasa untuk mengungkapkan pengalaman kemanusian yang paling mendalam dan luhur. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa intelektual dan kerohanian untuk umat Islam, makanya Bahasa Melayu juga seharusnya menjadi bahasa intelektual dan kerohanian umat Budha, Hindu, Kristian dan lain-lain keyakinan.

Bahasa Melayu yang saya sebutkan di sini bukanlah bahasa milik orang Melayu semata-mata. Bahasa Melayu adalah milik rakyat dan bangsa Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak dan lain-lain. Bahasa Melayu adalah milik semua rakyat Malaysia.
Kemerdekaan mestilah tidak terperangkap dengan bahana dari politik sempit dan kelam sesebuah parti politik tertentu. Kemerdekaan perlu di lihat dari perspektif rakyat keseluruhannya; perjuangan pelbagai kaum, menggunakan pelbagai wadah, dan melibatkan pelbagai aliran pemikiran. Sejarah ternyata mengajar kita bahawa Perjuangan Menuntut Kemerdekaan menerbitkan kesatuan semangat untuk menentang penjajah dan imperialisme Barat ketika itu.

Generasi terdahulu yang sama-sama berjuang untuk kemerdekaan, dan mereka yang menempuh zaman mudanya di masa awal kemerdekaan menjadi saksi kepada kepelbagaian aliran dan wadah perjuangan rakyat. Tetapi penulisan sejarah kemerdekaan yang disampaikan kepada generasi hari ini masih belum berlaku adil kerana fakta yang bercampur propaganda. Ini merupakan beban dan tanggungjawab kepada ahli-ahli sejarah kerana tanpa pensejarahan yang adil, kita tidak akan dapat melihat dan menemui makna dan rupa diri bangsa kita yang sebenarnya. Nama pejuang kemerdekaan seperti Dato’ Onn Jaafar, Ustaz Abu Bakar Baqir, Dr Burhanuddin al Helmy, Ahmad Boestamam, Mat Salleh, Panglima Rentap dan Rosli Dhobi tidak sewajarnya digelapkan dari sejarah menuntut kemerdekaan.

Kemerdekaan adalah untuk kebebasan dan keadilan. Inilah yang dijanjikan kepada kita pada 31 Ogos 1957. Sekiranya kita mahu berdegil untuk meneruskan saki baki peninggalan feudal, atau mahu memperkokohkan lembaga-lembaga sistem otoritarianisme, sudah pasti kita menjadi bangsa yang terpinggir. Bangsa Malaysia tidak miskin dengan sumber daya manusianya. Dengan paras pembangunan yang telah dicapai dan kekayaan yang kita miliki Malaysia boleh menjadi negara yang besar. Dan kita perlu yakin bahawa Malaysia boleh menjadi bangsa yang besar. Tetapi kita tidak boleh menjadi bangsa yang besar sekiranya rakyatnya tidak bebas dan merdeka.

ANWAR IBRAHIM

Saturday, August 29, 2009

PARTI KEADILAN RAKYAT MENGUTUK TINDAKAN KUMPULAN MENGHINA AGAMA HINDU-malaysiakini


Parti Keadilan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan 50 orang yang kononnya mewakili penduduk Seksyen 23 di Shah Alam yang telah mengarak dan bertindak menghina kepala seekor lembu dalam memprotes isu penempatan semula sebuah kuil Hindu.

Tindakan mereka ini dengan jelas bertujuan untuk mengaibkan dan menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang yang suci.

Agama Islam tidak pernah mengajar penganut Islam untuk mencemuh mahupun menghina agama atau kepercayaan orang lain malah telah melarang sekali orang-orang Islam berbuat sedemikian.

Keadilan juga percaya bahawa tindakan ini berupa satu cubaan untuk mewujudkan kemarahan dan kebencian di antara orang-orang Islam dan Hindu sekaligus mencetuskan perbalahan kaum dan agama dan suasana yang tegang di Selangor lantas memberi peluang untuk UMNO untuk merampas balik Selangor sebagaimana yang dilaung-laungkan kononnya atas nama bangsa dan agama.

Keadilan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas untuk menjaga keamanan dan keharmonian dan tidak memandang remeh terhadap perbuatan yang jelasnya salah disisi undnag-undang dan berbentuk provokasi dan menggugat ketenteraman awam dan hubungan antara kaum/agama.

Keadilan juga kesal kerana pihak polis Selangor gagal menghalang kejadian ini dari berlaku dan sebaliknya Ketua Polis Selangor menyatakan bahawa tindakan boleh diambil hanya sekiranya terdapat laporan polis. Ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa pihak polis seolah-olah membenarkan atau mengalakkan perkara sebegini.

Keadilan meminta semua pihak yang berkenaan untuk bertenang dan berwaspada supaya tidak terperangkap dengan reaksi yang boleh diambil kesempatan oleh pihak UMNO yang berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor dengan mencetuskan insiden-insiden berunsur perkauman dan agama.












Latheefa Koya
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

Tuesday, August 25, 2009

Kenyataan Media: Kemenangan Calon Pakatan Rakyat Dalam PRK DUN Permatang Pasir-malaysiakini

Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran atas kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir hari ini.

Meskipun berbulan-bulan diasak fitnah sebagai pengkhianat bangsa dan berhadapan pembelotan, jelas kemenangan hari ini membuktikan rakyat menolak politik acuan pimpinan UMNO-BN yang memecahbelahkan.

Penghargaan yang tidak terhingga saya ucapkan kepada seluruh jentera pilihanraya kecil yang tetap bersabar mengharungi kepayahan dalam bulan Ramadhan ini. Kepada YB Tuan Haji Salleh Bin Man, tahniah diucapkan atas kejayaan ini. Maka bermulalah tugas untuk menunaikan amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Kemenangan dengan majoriti meyakinkan ini ternyata menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat, juga hasrat mereka yang sentiasa bergelora mahukan Perubahan dan melihat masa depan Pakatan Rakyat yang lebih gemilang.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Dewan Rakyat Malaysia

Friday, August 21, 2009

Salam Ramadhan 1430h-malaysiakini

SALAM RAMADHAN 1430H

"Dengan kehadiranmu RAMADHAN "
" Pahala di Gandakan "
" Azab Dipusara Diberhentikan "
"Syaitan-syaitan Dibelenggukan "
" Pintu Neraka ditutup & Pintu Syurga dibuka Seluasnya "

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.


Maka Rasulullah pun mengatakan Am in sebanyak 3 kali. Dapatkah kita
bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalah
Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat
.

Oleh itu, KAMI DARI WARGA N37BATUMAUNG terlebih dahulu memohon ampun dan maaf jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengajakan, semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, insyaallah.

MOGA IBADAH KITA MENDAPAT BARAKAH....

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK..

Thursday, August 20, 2009

Tabung pinjaman RM3 juta bantu usahawan kecil

GEORGETOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan tabung pinjaman bernilai RM3 juta, dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat, yang bertujuan membantu usahawan kecil dan golongan ibu tunggal.

Di samping itu, projek berkenaan juga sebagai menggalak dan membantu golongan rakyat miskin dan miskin tegar menceburi bidang perniagaan sebagai salah satu usaha membasmi kemiskinan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Majlis Mesyuarat Negeri Pulau Pinang memutuskan sebelum ini bahawa Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) meluluskan perlaksanaan tabung pinjaman ini secara kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tempoh tiga tahun, mulai 1 Oktober 2009.

Menurutnya, tabung pinjaman ini mengikut model pinjaman mikro USM dengan menekankan kepada memanfaatkan golongan ‘keterbawahan’.

Wednesday, August 19, 2009

Ekonomi Negara Di Persimpangan: Beranikah Untuk Berubah?-malaysiakini

Ramai dari kita sedar jualan dari sektor pembuatan merupakan di antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Oleh itu tidak hairanlah timbul rasa gusar di kalangan usahawan dan pengilang tempatan apabila prestasi nilai jualan sektor pembuatan tahun ini merudum sebanyak 25.5%. Sedangkan pada bulan Jun tahun 2008 sektor tersebut mencatatkan nilai jualan sebanyak RM 52.7 billion.

Menurut Jabatan Perangkaan Negara, nilai jualan sektor pembuatan merosot terkesan dari kelembapan 75 industri dalam sektor tersebut. Antaranya industri produk petroleum bertapis, pembuatan komputer dan peranti komputer, pembuatan besi asas dan keluli, pembuatan plastik serta pembuatan kimia perindustrian asas.

Apa yang lebih merisaukan saya, kesan buruk dari merosotnya prestasi industri-industri terbabit adalah berkurangnya peluang pekerjaan serta munculnya masalah pengangguran. Sekiranya kita membuat perbandingan di antara tahun ini dan sebelumnya, ternyata jumlah bilangan pekerjaan mencatatkan penurunan sebanyak 7.8% bersamaan 79 298 orang.

Angka-angka tersebut memperlihatkan kepada kita betapa negara ini masih teruk terkesan akibat dari krisis kewangan yang melanda keras tempoh hari. Langkah pembetulan mestilah merangkumi sekurang-kurangnya tiga perkara iaitu cepat, tepat dan berani. Tindakan pantas seiring dengan ketepatan membaca arus pergolakan mahupun gejolak kegawatan membolehkan permasalahan dapat segera dikoreksi.

Apa yang dikesalkan, kita sebenarnya berupaya untuk mengelak dari terjerumus merasai beban kedudukan ekonomi seperti sekarang sekiranya pimpinan serta pengurusan ekonomi negara cepat mengenalpasti kegawatan yang tiba dan bertanggungjawab menyampaikannya sesegera mungkin kepada rakyat.

Haruslah juga ada keberanian untuk kembali mengungkap dasar yang sudah lama dilaksanakan serta menawarkan ide baru. Pastinya akan ada pertentangan dari mereka yang gentar dan alah kepada Perubahan. Hakikatnya saranan serta cadangan yang kita tawarkan kepada rakyat Malaysia diakui berkesan oleh mereka yang pada mulanya seumpama sapi naik minyak.

ANWAR IBRAHIM

Sunday, August 16, 2009

Perasmian Sambutan Bulan Ramadhan Dan Pemberian Sumbangan Kepada Penduduk yang Kurang Berkemampuan dan Masjid serta Surau Di KADUN N37 BatuMaung



Seramai lebih kurang dari 150 penduduk yang kurang berkemampuan serta Masjid-masjid dan Surau-surau sekitar kawasan Batu Maung telah menerima sumbangan semperna Sambutan Bulan Ramadhan yang telah di anjurkan oleh Pusat Khidmat N37BatuMaung bersama-sama dengan JKKK Permatang Damar Laut Batu Maung.

Program dimulakan dengan penyampaian sumbangan Ramadhan oleh Yb Hj Malik Kassim ADUN Batu Maung memerangkap EXCO kerajaan Pulau pinang.

Program diserikan dengan kehadiran TKM 1 Pulau pinang YB Dr Mansor Othman yang seterusnya terlah merasmikan Pelancaran Sambutan Bulan Ramadhan.

Pada malam ini pula akan diadakan Forum Perdana " RAMADHAN BULAN RAHMAH DAN KEAMPUNAN " yang akan dipengerusikan oleh Yg Berbahgia Ust Mohd Hanif Omar@wahab dari Jab Mufti Negri Pulau Pinang, manakala ahli paner terdiri daripada Yg berbahgia Ust Abu Khir Bin Ayop ( Per Ulamak Kedah ) , Yg berbahgia Ust Ellias Zakaria ( Pensyarah USM ) dan YG berbahgia Ust Shahul Hamid Bin Seeni Muhammad ( Penceramah Bebas , Mudir Darul Tahzib Teluk Kumbar)

Thursday, August 13, 2009

FORUM PERDANA-malaysiakini

"RAMADHAN BULAN RAHMAH DAN KEAMPUNAN"

Tarikh : 16/08/2009
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Padang Permatang Damar Laut

PENCERAMAH :

YB USTAZ TAIB AZAMUDDEN(BEKAS IMAM BESAR MASJID NEGARA)
YBHG USTAZ ELLIAS ZAKARIA (PENSYARAH USM)
YBHG USTAZ SHAHUL HAMID SEENI MUHAMMAD

SEMUA DI JEMPUT HADIR TERDAPAT PAMERAN DAN AKTIVITI MENARIK
5.00 Petang
- Bacaan Al- Quran Dan Nasyid
- Ucapan Aluan Yb Haji Abdul Malik Kassim
- Ucapan Perasmian Yb Mansor Bin Hj Othman
- Jamuan Makan

Saturday, August 8, 2009

Al-Fatihah : Bapa Mertua Ahmad Azrizal Kembali Ke Rahmatullah... ~ malaysiakini

Salam & Salam Sejahtera...

Ucapan Takziah dari warga kerja n37batumaung kepada keluarga Ahmad Azrizal bin Tahir, Pembantu Khas ADUN Kawasan N37 Batu Maung diatas pemergian ke rahmatullah bapa mertua beliau yang dikhabarkan kelmarin telah dimasukkan ke wad I.C.U Hospital Balik Pulau kerana 'stroke' @ lumpuh separuh badan dan pagi ini telah pun meninggal dunia.

Semoga Rohnya Dicucuri Rahmat dan ditempatkan dikalangan para-para Solihin. Al- Fatihah.

--
Sila Lawati Blog kami di :-

http://n37batumaung.blogspot.com/

Thursday, August 6, 2009

Y.B Tuan Haji Abdul Malik - Jeff Ooi Perlu Tarik Balik Kenyataan ~ malaysiakini


KENYATAAN AKHBAR EXCO AGAMA BERHUBUNG KENYATAAN JEFF OOI

YB Jeff Ooi Perlu Tarik Balik Kenyataan Menyentuh Sensitiviti Islam Selaku EXCO Hal Ehwal Agama Pulau Pinang saya begitu kesal dengan kenyataan YB Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong berhubung kenyataan beliau tentang Muslim Extremis yang dilabelkan kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Meskipun Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), namun kenyataan berbaur prasangka tanpa berpijak di bumi nyata perlu dielakkan lebih-lebih lagi kenyataan daripada wakil rakyat dari kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya secara tegas menolak kenyataan YB Jeff Ooi yang disiar dalam akhbar The Sunday Star, bertarikh 2 Ogos 2009, yang saya anggap bersifat peribadi tetapi boleh disalah erti pelbagai pihak. Saya yakin umat Islam khususnya di Pulau Pinang tidak dapat menerima kenyataan sebegini lebih-lebih lagi ia menyentuh sensitiviti Agama Islam sebagai agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menjalin hubungan baik dengan semua pihak, termasuk NGO-NGO Islam untuk memacu Pulau Pinang ke arah lebih baik.

Buktinya peruntukan sebanyak RM1.5 juta yang disalurkan kepada 17 Sekolah Agama Rakyat (SAR) oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini, turut membabitkan 2 buah SAR yang dikendalikan oleh NGO Islam iaitu JIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM305,000.00.

YB Jeff Ooi perlu lebih berhati-hati selepas ini. Beliau perlu menggunakan saluran dalaman bagi menyuarakan pandangannya kepada Kerajaan Negeri. Jangan sampai kerana pulut santan binasa, kerana mulut imej Kerajaan Negeri binasa.

Jesteru itu, saya menggesa YB Jeff Ooi menarik balik kenyataannya yang telah menyinggung perasaan umat Islam bukan sahaja di negeri ini, bahkan seluruh negara.


YB TUAN HAJI ABDUL MALIK KASSIM

EXCO HAL EHWAL AGAMA ISLAM

NEGERI PULAU PINANG.


--
Sila Lawati Blog kami di :-



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT