Thursday, September 23, 2010
Kenyataan Media Presiden mengenai Pemilihan 2010
Saya yakin pemilihan ini pastinya menarik perhatian segenap lapisan masyarakat seluruh Malaysia. Maka proses yang dilalui seharusnya tersusun dan tidak menampakkan sebarang cacat cela.
Justeru, saya mengharapkan agar ruang Pemilihan kali ini harus dibudayakan dengan penuh tertib dan etika. Sebaran jamak pandangan yang berlaku harus dirai dengan penuh sopan dalam disiplin parti sebagaimana digariskan dalam Etika Pemilihan parti.
Saya juga menyeru agar Pemilihan ini dijadikan platform untuk ahli menilai barisan kepimpinan yang mantap dan segar idealisme bagi memandu KeADILan untuk merealisasikan harapan rakyat ke arah Malaysia yang demokratik dan madani.
DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)
Monday, September 20, 2010
Thursday, September 16, 2010
Rumah Terbuka Aidil Fitri ADUN Batu Maung

Rumah Terbuka ADUN Batu Maung yang akan di adakan pada:
Tarikh : 18 September 2010 / 9 Ramadhan 1431h ( Sabtu )
Masa : 3.00 Petang - 5.00 Petang
Tempat : Dewan JKKK Kampung Naran, Jalan Baru , Batu Maung
Semua dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis..
Salam Aidil Fitri Maaf Zahir Dan Batin Dari YB Malik Kassim ( Adun Batu Maung ) serta kakitangan Pusat Khidmat N37 ADUN Batu Maung.
Friday, September 10, 2010
Perutusan Eidulfitri 2010/1431H
Alhamdulilah syukur kepada Allah SWT, Yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, kerana dengan limpah KurniaNya, berjaya kita menyempurnakan ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.
Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Eidulfitri kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.
Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.
Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.
Makanya saya memohon izin berkongsi ibrah dari sirah Rasulullah SAW ketika Perang Hunain yang meletus pada bulan Syawal. Selepas kejayaan Pembukaan Kota Mekah, umat Islam ternyata begitu bersemangat, oleh itu ketika menuju medan perang, ada yang mula mengungkapkan
“di hari ini kami tidak akan terkalahkan”
Keangkuhan menjalar dan merasuk! Seperti yang kita semua ketahui, umat Islam kalah pada pusingan awal sehinggalah ampunan dan pertolongan dari Allah SWT tiba merubah kekalahan yang sebelumnya hampir pasti. Turunlah ayat 25, Surah at Taubah yang menegur dan mengingatkan umat Islam:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”
Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. Mengakhiri pesan ringkas sempena sambutan hari yang penuh keberkatan ini, saya nukilkan pesan dari Quran yang mulia, ayat 128, Surah al Nahl, buat menjadi pedoman untuk saya dan semua,
“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan”
Moga Eid ul Fitr tahun ini mendorong kita untuk merenung diri dan menjana perubahan agar tidak tidak tergelincir dari fitrah yang murni serta luhur. Bersesuaian dengan pesananNya, perbanyakkan lah amal dan berbuat kebajikan.
Salam Eidulfitri
Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat
Tuesday, September 7, 2010
Monday, September 6, 2010
Saya masih waras- Guan Eng
KEPALA BATAS, 6 Sept: "Saya masih waras dan tahu menilai majlis apa yang dibolehkan ketika bersama masyarakat Islam"kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika membidas dakyah terbaru Umno kononya beliau menyembelih lembu korban.
Menurutnya, perbuatan itu sengaja dibuat dengan menukar gambarnya dengan wajah Mantan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin dengan tujuan mencetuskan kemarahan Umat Islam terhadapnya.
Beliau yakin, rakyat tidak tunduk dengan fitnah yang tidak berasas tersebut yang mempunyai maksud untuk merosakkan perpaduan kaum yang sedia ada.Menurutnya lagi, punca utama kemarahan kepimpinan Umno dan BN terhadap kepimpinanya ialah ketika beliau mengharamkan judi bola Piala Dunia baru-baru ini. Disebabkan pengharaman tersebut kerajaan kehilangan sumber pendapatan yang besar.
(Gambar: Guan Eng menyerahkan wang pengurusan jenazah RM 1000 kepada waris si mati)
"Bila Kerajaan Pakatan rakyat mengeluarkan kenyataan haramkan judi bola, ramai yang marah malah ada yang anggap ianya tindakan jahat kerana menghalang sumber pendapatan negara, " jelasnya.
Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang berbuat demikian baru diikuti oleh beberapa negeri lain sehingga membuatkan Kerajaan Pusat terpaksa mengubah keputusan mengharamkan kononya mendapat bantahan banyak pihak.
Sementara itu, masyarakat berbilang bangsa di Pulau Pinang terus memuji langkah Kerajaan Negeri memberikan wang pengurusan jenazah RM1,000 kepada waris warga emas yang telah meninggal dunia serta baki pemberian RM100 kepada 80 orang warga emas di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Dua.
Pemberian itu merupakan ehsan yang dianggap cukup mengembirakan waris yang menerima kerana sebelum ini tiada kerajaan sehebat Pakatan Rakyat yang sanggup memberikan saguhati tanda simpati kepada waris yang menerima kematian keluarga tercinta.
Program sumbangan pengurusan jenazah yang diadakan di Dewan Orang Pajak Song baru-baru ini adalah program kedua setelah berjaya dadakan di Seberang Perai Selatan penghujng bulan lepas.
Seorang penerima, Osman Saad berkata, pemberian RM1,000 itu membuktikan apa yang dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyatt di Pulau Pinang bukan janji kosong sepertimana yang didakwa oleh pembangkang.
Ooi Ah Nga pula berkata, pemberian itu terbukti slogan 'Kerajaan Berjiwa Rakyat' betul-betul menjadi kenyataan tidak mempermainkan rakyat dengan berbagai slogan.
Manakala bagi Encik Gunaseelan dari Butterworth, pemberian itu merupakan simbol Kerajaan Pakatan Rakyat berbanding Kerajaan BN yang hanya tahu menabur janji tetapi sukar untuk merealisasikanya.
"Walaupun pemberian itu tidak seberapa namun bagi rakyat yang baru menerima kematian keluarga ia merupakan hadiah berharga yang tiada ternilai terutamanya keluarga miskin, " ujarnya yang menerima sumbangan pengurusan jenazah ayahnya mendiang Kuppusamy yang meninggal pada bulan Mac lepas.
Tuesday, August 24, 2010
YB Malik Kassim tidak akan tunduk kepada pemuda umno
Gesaan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan meminta Malik meletak jawatan kerana gagal menangani isu penggunaan nama Guan Eng dalam khutbah disifatkan oleh beliau sebagai pendekatan untuk mengalihkan perhatian rakyat ekoran dari kesilapan mereka membuat fitnah adal isu penyebutan nama Guan Eng dalam khutbah Jumaat itu. Beliau yang turut menasihatkan pihak terbabit untuk bertaubat turut menjelaskan khutbah oleh salah seorang khatib, Zakaria Ahmad yang dikatakan mendoakan keselamatan Guan Eng adalah sebaliknya cuma memohon supaya Ketua Menteri Pulau Pinang menerima hidayah-Nya.
Malah menurut beliau lagi, sejak zaman Rasullah SAW lagi, sudah wujud doa supaya pemimpin bukan Islam diberikan petunjuk dan hidayah. Bagi Malik, serangan berterusan ke atas Guan Eng dibuat sebagai tindak balas berikutan Pulau Pinang menjadi negeri pertama mengharam judi bola. Guan Eng dianggap antara pemimpin bukan Islam yang mesra dan akrab dengan umat Islam, malah membawa dasar yang menguntungkan institusi Islam di Pulau Pinang. – FARDILLA DIN/TVSelangor
Sunday, August 22, 2010
Isu nama LGE dalam Khutbah Jumaat - permainan politik Umno berniat jahat
“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama hari ini.
“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Dalam kenyataan hari ini Abdul Malik dan Mansor menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.
“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.
Sehubungan itu kata beliau, Umno harus membuat laporan rasmi polis atau di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang terhadap mana-mana khatib atau imam mesjid di Pulau Pinang yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim.
“Sekali lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan dengan keras dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.
“Teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib atau imam yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.
“Kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk tujuan tersebut,” kata kedua-dua pemimpin itu.
Kata mereka, permainan politik Umno ini berniat jahat dan telah mencemarkan nama baik golongan khatib atau imam di Pulau Pinang, yang bukan sahaja mendokong syair Islam yang syumul dan menyeluruh tetapi juga setia kepada raja dan negara.
“Beberapa ahli kariah masjid yang berikan keterangan menyokong dakwaan Umno berkata nama Ketua Menteri ada disebut. Tetapi ia disebut oleh khatib atau imam dalam konteks memohon kepada Allah supaya Ketua Menteri diberi petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam.
“Ini adalah perkara lain daripada menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan Ketua Menteri. Adalah difahamkan ahli kariah tersebut adalah orang Umno,” kata Mansor dan Abdul Malik.
Kedua-dua pemimpin itu berkata, adakah BN dan Umno marah kerana kesudian Ketua Menteri untuk hadir di majlis-majlis agama Islam, umpamanya sumbangan Ihya Ramadan, sambutan Maulidur Rasul, menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid-masjid di Pulau Pinang yang tidak pernah dilakukan oleh Ketua Menteri sebelum ini.
“Sumbangan Ihya Ramadan, yang diluluskan oleh Ketua Menteri diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Serbaguna Jawi kepada semua masjid. Ketua Menteri hanya hadir bersama. Ini boleh disahkan oleh semua masjid yang hadir.
“Lagipun Lim Guan Eng merupakan di antara Ketua Menteri yang paling awal sekali mengharamkan judi bola yang diluluskan oleh Umno.
“Adakah Umno simpan dendam dalam hati kerana Lim Guan Eng, sungguhpun bukan Islam, telah memalukan Umno dengan mengharamkan judi bola yang dihalalkan oleh Umno?” katanya lagi.
Wednesday, August 18, 2010
Kerajaan negeri beri bonus raya kepada 3,577 kakitangan awam
Semua 3,577 kakitangan awam di Pulau Pinang akan menikmati bonus istimewa RM400 bagi menyambut Aidilfitri. Menurut kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri, geran kewangan istimewa yang membabitkan perbelanjaan RM 1.5 juta diluluskan oleh exco kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini.Pembayaran RM400 itu akan dibuat pada 3 September ini, iaitu kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri. “Pembayaran istimewa sekaligus sebanyak RM400 sempena Aidilfitri tahun ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghargai perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang.
“Exco negeri Pulau Pinang berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memberi perkhidmatan lebih baik,” kata ketua menterinya, Lim Guan Eng.
Menurut Lim, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran, usaha yang jitu lagi berterusan dilaksanakan bagi mencorakkan penjawat awam profesional ke arah bertaraf dunia. Katanya, Pulau Pinang tidak mampu untuk melonjak kepada status Bandaraya Antarabangsa tanpa usaha penjawat awam negeri memacu ke arah menjadi penanda aras antarabangsa.
Tindakan populis ini bukan yang pertama diambil oleh Lim sejak DAP menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang. Sebelum ini, kerajaan negeri turut menghadiahkan RM500 dan anugerah negeri kepada pekerja bawahan yang bekerja keras membersihkan longkang dan parit di negeri itu. Selain itu, bayaran RM100 juga dibuat kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas di negeri itu.
YB Malik Kassim memberi sumbangan sempena kedatangan Ramadhan 1431h




Kelas memasak Biskut dan Kek Raya

Bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi , Pusat Khidmat Masyarakat N37 ADUN Batu Maung akan mengadakan Kelas memasak Biskut dan Kek Raya secara PERCUMA pada:
Friday, August 13, 2010
PROJEK BAKUN: SUBSIDI KORPORAT DITERUSKAN, SUBSIDI RAKYAT DIAMBIL

Saya memandang dengan serius laporan-laporan mutakhir yang menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun kerana begitu banyak wang rakyat telah disalurkan ke projek ini sejak sedekad yang lalu.
Berdasarkan laporan, jumlah kos keseluruhan dijangkakan akan meningkat akibat beberapa kelewatan projek. Kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 billion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 billion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Kedua-dua pinjaman ini juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.
Sikap tidak peduli Perdana Menteri yang membiarkan wang rakyat terus digunakan di dalam projek Empangan Bakun adalah sangat bertentangan dengan pendapat beliau mengenai subsidi minyak dan gula. Beliau seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek ini, tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula – sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat yang digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini.
Sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10% dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun. Projek ini juga telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.
Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan). Laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri. Perbezaan ini memungkinkan Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion apabila projek diserahkan kelak.
Siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion ini? Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 billion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?
Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi. Di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbillion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.
Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat. Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 billion itu perlu ditanggung oleh rakyat.
Rakyat berhak tahu terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.
YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
13 OGOS 2010
KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

