...

Pages

Thursday, March 4, 2010

KEADILAN TETAP TEGUH DAN MANTAP

Peristiwa beberapa orang Ahli Parliamen (AP) melompat keluar dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merupakan proses penyucian yang dialu-alukan. Kami percaya apabila sudah tidak ada daki, kulit menjadi lebih bersih dan badan lebih sihat.

Sejarah menunjukkan PAS dan DAP mengalami cabaran lebih buruk pada peringkat permulaan mereka. Beberapa pimpinan utama mereka keluar parti. Dari DAP Goh Hock Guan (SUA), Richard Ho (pemimpin kanan), Lee Lam Thye dan lain-lain keluar parti. Ada pihak menganggap DAP akan lingkup. Sebaliknya ia menjadi lebih kuat sehingga kini.

Dari PAS pula, Asri Muda (Presiden), Osman Abdullah (SUA), Nakhaie Ahmad (Naib YDP) dan ramai lagi meninggalkan parti. Para pemimpin Umno menyangka dan mengharapkan PAS akan gulung tikar. Tetapi apa berlaku? PAS menjadi lebih teguh seperti yang terbukti sekarang.

Kita jangan lupa Umno juga melihat ramai pemimpin, termasuk tiga orang Presidennya – Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn - keluar parti dan tidak masuk semula sehingga mati. Tidak seperti Mahathir Mohamad, yang bercerai sekejap dan kemudian rujuk kembali. Berbeza dengan PAS dan DAP, Umno lebih parah keadaannya kini.

Ahli-ahli Parliamen yang melompat katak dari KEADILAN akhir-akhir ini, seperti Ahli-ahli Dewan Negeri yang berbuat serupa terdahulu darinya, menghadapi masalah pribadi serta kewangan dan ada yang mula disiasat oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah).

Selain itu mereka tidak menjaga kawasan, tidak pernah menuyarakan rintihan apatah lagi membela hak rakyat. Mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam Parlimen – tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

Pimpinan Umno meraih peluang dari kelemahan mereka. PM Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menemui hampir semua sebelum mereka keluar – termasuk juga beberapa orang bukan ADUN atau AP yang boleh diperalatkan – dengan menjanjikan berbagai-bagai habuan untuk memikat mereka. Kami mendapat maklumat bahawa berpuluh juta dana disediakan oleh PM serta kroni konrporatnya untuk membeli ADUN dan AP, terutama dari KEADILAN.

Najib dan pemimpin Umno yang lain berikrar konon hendak berusaha menghapuskan korupsi. Sebaliknya mereka sentiasa melakukan korupsi politik dan kewangan besar-besaran. Tindakan korupsi mereka pasti akan menjadikan KEADILAN lebih teguh dan mantap dan disokong rakyat ramai.


Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden, KEADILAN

Wednesday, March 3, 2010

DEBAT PERDANA RAKYAT 2010



"ISU MELAYU - ISLAM PULAU PINANG : ANTARA PROVOKASI & KEBENARAN

Tarikh : 7 Mac 2010 ( AHAD )

Jam : 9.00 Malam

Tempat : Tapak EXPO Seberang Jaya Pulau Pinang

Jom saksikan siapa sebenar pembela MELAYU dan ISLAM Pulau Pinang!!!!!!!!!

Friday, February 26, 2010

Dakwaan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tahun ini sudah terjawab.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul bertemakan “Memantapkan Ukhuwah Memperkasa Ummah” yang dianjurkan Kerajaan Pulau Pinang nyata menangkis tuduhan pihak tertentu kononnya kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng membatalkan perarakan itu.

Malah menurut EXCO Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Abdul Kassim (gambar), kerajaan negeri juga menjana pelbagai program dalam usaha melahirkan umat Islam yang celik agama melalui beberapa ceramah dan forum agama.

"Masa-masa akan datang kita akan lebih menitikberatkan untuk pengisian Maulidur Rasul bukan hanya budaya atau cara yang selalu dilakukan, tetapi kita akan fikir usaha di mana kita akan buat pembaharuan supaya rakyat dan umat Islam dapat dapat manfaat dalam pembentukan akhlak", katanya.

Turut meraikan majlis ialah ketua menteri, Lim Guan Eng. Gambar: Harakahdaily

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas majlis sambutan berkenaan.

Sunday, February 21, 2010

Peruntukan Maipp: Ketua Menteri sangkal dakwaan liar

GEORGETOWN, 21 Feb: Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah berbohong tentang peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) pada tahun 2008 di era pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebanyak RM12,548,580 kerana ia disahkan oleh Jabatan Kewangan Negeri, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Katanya, peruntukan RM7,548,580 dikhaskan untuk pengurusan manakala RM5 juta lagi untuk tujuan pembangunan.

"Saya terpaksa buat kenyaaan ini berikutan terdapat tuduhan liar oleh pihak yang tidak

bertanggugjawab yang mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bercakap tidak

berfakta. Itulah hakikatnya kerana ia disahkan oleh Jabatan Kewangan Negeri," ujarnya dalam kenyataan akhbar semalam.

Pihak yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini menyangkal kenyataan Lim bahawa bantuan yang diterima oleh Maipp pada tahun 2008 semuanya perbelanjaan pembangunan.

Pada perbelanjaan kerajaan negeri kali pertama iaitu tahun 2009, Maipp sudah mendapat limpahan bantuan sebanyak RM20.5 juta yang merangkumi pengurusan dan perbelanjaan, manakala pada tahun ini dinaikkan lagi kepada RM24.3 juta.

"Kerajaan Pakatan Rakyat melakukan yang terbaik untuk umat Islam berbanding BN di bawah pentadbiran Tan Sri Koh Tsu Koon. Inilah yang merunsingkan sekutu BN iaitu Umno yang asyik berdendam dengan Pakatan Rakyat ekoran mereka tidak pun bertindak membela orang Melayu sebalikya sanggup menarik balik perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR)," tegas beliau.

Jesteru itu, beliau menasihatkan pihak yang tidak bertanggungjawab termasuk badan bukan

kerajaan (NGO) jangan membuat tuduhan liar sebaliknya mendokong kerajaan sedia ada demi meningkatkan syariat Islam di negeri ini.

Saturday, February 20, 2010

Larang Masuk Pejabat Ketua Menteri PP Arahan Pentadbiran Biasa


PULAU PINANG: Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini menjelaskan arahan melarang semua pelawat dan pegawai selain kakitangan pejabat itu daripada memasuki ruang Pejabat Ketua Menteri di tingkat 28, Komtar di sini adalah peraturan pentadbiran biasa.

Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob berkata arahan itu bukan bermaksud tidak membenarkan pelawat datang ke pejabat Ketua Menteri sebaliknya ia bagi memastikan orang ramai tidak sesuka hati memasuki ruang pejabat itu.

"Jika dia (pelawat) nak jumpa pegawai tertentu contohnya nak jumpa saya, saya boleh bawa dia masuk ke ruang pejabat. Itu tidak ada masalah.

"Cuma kadang-kadang pelawat yang datang tak buat temu janji. Kita tak tahu apa urusan dan kita tak boleh benarkan orang sesuka hati keluar masuk pejabat Ketua Menteri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.Beliau turut menjelaskan bahawa tingkat 28 dan beberapa tingkat yang lain di Komtar diwartakan sebagai zon larangan dan pelawat perlu mendapatkan pas pelawat daripada pengawal di tingkat tiga untuk pergi ke tingkat-tingkat berkenaan. "Bukan bermaksud zon larangan itu kita tak bagi orang naik. Orang boleh naik dengan kebenaran iaitu setelah mendapatkan pas daripada pengawal di tingkat 3 dan selepas itu bolehlah pelawat itu naik ke tingkat 28 dan jumpa pegawai yang beliau ingin jumpa," katanya.

Semalam, Pemuda Umno menyelar tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang melarang semua pelawat dan pegawai selain kakitangannya daripada memasuki ruang pejabatnya di tingkat 28.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata arahan yang dikeluarkan dalam satu memo bertarikh 28 Jan lepas itu menyukarkan orang ramai untuk membuat urusan secara terus di Pejabat Ketua Menteri.-BERNAMA

Wednesday, February 17, 2010

PR Pulau Pinang Salur RM100 Setahun Kepada Setiap Warga Emas

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan tahunan sebanyak RM100 kepada setiap warga emas di negeri itu untuk meringankan beban kehidupan golongan tersebut.

Beliau berkata langkah kerajaan negeri berbeza dengan pentadbiran Barisan Nasional yang gagal menyediakan bantuan menyebabkan golongan warga emas dipinggirkan.

"Kegagalan BN di Pulau Pinang telah lama menyusahkan rakyat dan semasa BN mentadbir kerajaan negeri, mereka dapat banyak peruntukan tetapi sedikit pun tidak disalurkan kepada rakyat miskin.

"Saya dan kerajaan negeri tidak mampulah memberi jumlah yang banyak, tetapi kita cuba membantu rakyat yang memerlukan bantuan untuk meringankan beban mereka. Rakyat perlu ingat BN tidak pernah memberi bantuan sebegini," katanya pada Sambutan Tahun Baru Cina di Padang tembak, Air Hitam, Pulau Pinang petang tadi.

Turut hadir Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Ketua Menteri I dan II, Mansor Othman dan Dr P. Ramasamy.

Menurut Lim apabila Pulau Pinang mendapat keuntungan lebih melalui pelaburan yang dilaburkan, kerajaan negeri akan sentiasa berkongsi keuntungan tersebut bersama rakyat dan bukannya mengaut keuntungan untuk diri sendiri.

"Setiap pelaburan yang dilakukan kerajaan negeri adalah untuk kebaikan bersama rakyat dan bukannya diberikan kepada kuncu-kuncu tertentu seperti pihak BN.

"Kita tidak akan mengikut cara kotor BN yang memberi keuntungan hanya kepada pemipin-pemimpin mereka melalui pelaburan yang dilakukan dan kita sentiasa bersama rakyat mencari keuntungan membangunkan negeri lebih maju untuk generasi akan datang," tegas Ahli Parlimen Bagan itu.

Tambah Lim walaupun kerajaan menghadapi banyak tekanan masa kini namun ia masih mampu melalui cabaran tersebut hasil sokongan padu rakyat kepada Pakatan Rakyat.

"Rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India perlu juga bijak membuat keputusan memilih pemimpin kawasan mereka kerana jika tersalah memilih pemimpin buruk padahnya seperti yang banyak berlaku hari ini" kata Lim.

Monday, February 15, 2010

Rumah Terbuka Tahun Baru Cina KADUN Batu Maung

Semua dijemput untuk menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina KADUN Batu Maung yang akan diadakan pada:

Tarikh : 21 Feb 2010 ( Ahad )

Jam : 5.00 petang hingga 7.00 petang

Tempat : Hadapan Pusat Khidmat ADUN Batu Maung , Taman Ipin, Batu Maung

Bersama Tetamu Terhormat :YAB Dato Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng

Diharap semua dapat untuk hadir beramai-ramai......

Kebakaran di Permatang Damar Laut


Rakan-rakan tuan punya rumah sedang membantu mencari barangan yang terselamat


Keadaan hadapan rumah yang terbakar



Sdr Azrizal Pembantu Khas YB Abd Malik sedang mengambil butir-butir berkaitan mangsa kebakaran

Satu kebakaran berlaku di Permatang Damar Laut hari ini 14 Feb 2010 kira-kira jam 8.15 minit malam. Kebakaran yang mungkin berpunca dari pendawaian elektrik yang usang telah memusnahkan sebuah rumah. Mangsa En Sivalingam AL Kalimuthu juga merupakan seorang OKU yang menjalani Hemodialasis setiap minggu. Beliau juga mengalami masalah penglihatan. Turut tinggal bersama beliau ialah isteri beliau Pn Anjailai dan 3 orang anaknya. 2 daripada mereka adalah kembar yang baru menamatkan SPM.
Pembantu Khas YB Abd Malik Kassim memaklumkan yang bantuan segera berupa wang tunai telah dihulurkan untuk membantu mangsa dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dihubungi. JKM akan membuat lawatan susulan keesokan harinya. YB Hj Abdul Malik Kassim yang sekarang berada di Kuala Lumpur berjanji untuk melawat dan memastikan bantuan sewajarnya sampai ke tangan mangsa.
Setakat berita ini ditulis anggaran kerosakan masih belum dapat dipastikan.

Jika Sdr dan Sdri ingin menghulurkan bantuan untuk meringgankan beban mangsa, mereka boleh dihubungi di talian 016-4832417 atau anak mangsa Cik Vinoshini di 016-4077809 atau boleh berhubung dengan Pusat Khidmat ADUN Batu Maung.

Pulau Pinang akan sambut Maulidur Rasul tiga hari


GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul malah sambutan pada tahun ini akan diadakan tiga hari berturut-turut bermula 25 hingga 27 Februari, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Abdul Malik berkata, laporan sebuah akhbar yang mendakwa Kerajaan Negeri membatalkan perarakan itu adalah tidak benar.

“Ia (perarakan) akan berjalan seperti biasa. Kerajaan tidak pernah umum nak batal perarakan Maulidur Rasul. Saya tidak faham mengapa laporan seperti ini dikeluarkan,” katanya.

Abdul Malik berkata, keputusan untuk mengadakan perarakan Maulidur Rasul sudah dibincangkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri sejak tiga bulan dahulu, bagaimanapun hanya baru-baru ini sahaja keputusan muktamad dibuat setelah jawatankuasa itu mengambil kira beberapa opsyen yang dicadangkan.

Menurutnya, tindakan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Jaipp) menyiarkan atur cara Majlis Perhimpunan Ummah Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang tidak menyertakan acara perarakan di laman sesawang jabatan itu sebelum ini, tidak menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

“Sebagai Kerajaan Negeri yang masih baru, kami perlu meneliti beberapa opsyen tambahan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Memandangkan isu sama ada hendak mengadakan perarakan atau tidak masih tidak diputuskan pada masa itu, Jaipp tidak boleh menunggu sehingga keputusan dicapai untuk menyiarkan atur cara itu sebagai hebahan kepada umum. Tindakan Jaipp tidak menyertakan acara perarakan dalam tentatif program bukan sebab dibatalkan Kerajaan Negeri,”katanya.

Mengenai isi program sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, Abdul Malik berkata, ia akan dimulakan dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil di semua masjid di seluruh negeri pada malam 25 Februari.

Pada keesokan harinya, acara sambutan akan dimulakan dengan perarakan kontinjen Kerajaan Negeri yang bakal diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, diikuti perhimpunan ummah di Dewan Sri Pinang.

“Buat pertama kali juga, Kerajaan Negeri mengadakan Majlis Bacaan Kitab Sirah Rasulullah SAW pada 27 dan 28 Februari di Masjid Negeri.

“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan pameran ketamadunan Islam dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang di foyer Dewan Sri Pinang. Program ini julung kali diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul di negeri ini.

“Dengan penganjuran sambutan Maulidur Rasul selama tiga hari berturut-turut, Kerajaan Negeri berharap tiada lagi pihak tidak bertanggungjawab menfitnah kami dengan tuduhan anti Melayu dan anti Islam,”katanya.


Sunday, February 14, 2010

Rakyat pelbagai kaum kunjungi rumah Guan Eng

GEORGETOWN, 14 Feb: Rumah terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di laluan pejalan kaki Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pagi tadi meriah dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum, berlangsung penuh harmoni dan warna warni.

Tetamu terhormat Yang Dipertua negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas dan isterinya tiba sekitar jam 11.00 pagi disambut mesra oleh kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri 1 dan 2, Dr Mansor Othman dan P. Ramasamy yang sedari awal berdiri sambil melayan tetamu yang tidak putus-putus menghulurkan tangan tanda semangat pada Tahun Harimau yang membawa maksud ketangkasan, licik, waja dan berketerampilan.

Selain Yang Dipertua negeri, turut kelihatan ialah Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Bendera, Saiful Lizan Mohd Yusuf, Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Husain dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Guan Eng yang ditemani isterinya tidak putus-putus bersalaman dengan orang ramai tidak kira Cina, India mahupun Melayu manakala isterinya pula sibuk membahagikan buah limau tanda selamat kepada hadirin di pintu masuk ke medan majlis yang bermula jam 10.00 pagi sehingga 1.00 petang.

Walaupun beliau banyak tugasan selain sebagai Ketua Menteri juga sebagai Setiausaha Agung DAP, namun untuk kepentingan rakyat, beliau sanggup ketepi semua kesibukan semata-mata untuk bertemu rakyat.

Dua hari sebelum Tahun Baru Cina, beliau terlibat dengan pidato 'Tolak Fitnah' yang diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibung, Bayan Baru dan semalam di Kampung Pelet, Penanti bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Dari raut wajahnya sebagai pemimpin yang prihatin dan penyayang, maka tidak hairanlah di rumah terbuka itu, beliau tidak lupa kepada kanak-kanak serta golongan OKU dan warga emas bangsa cina yang mendiami rumah kebajikan.

Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina kali kedua setelah Pakatan Rakyat memerintah negeri ini diserikan persembahan penari di bawah pengendalian Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang mempamerkan tarian tiga bangsa serta tarian singa sebagai lambang perayaan.

Nik Aziz saran Zahrain letak jawatan MP


Datuk Seri Zahrian Mohd Hashim disaran meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen Bayan Baru bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil di kawasan itu, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau menyifatkan tindakan Zahrain, yang mengumumkan keluar dari PartiKeadilan Rakyat (PKR) Jumaat lalu, dan wakil rakyat yang melompat parti sebagai golongan yang mengkhianati amanah rakyat.

Katanya wakil rakyat yang bertindak demikian mesti bertanggungjawab kepada rakyat yang memilih mereka pada pilihan raya lepas dan perlu menyerahkan mandat semula kepada rakyat untuk membuat pemilihan baru.

"Undi adalah amanah yang diberikan oleh rakyat, jika kita melompat ke parti baru atas sebab tertentu, maknanya kita tidak amanah kepada rakyat," katanya kepada pemberita ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina oleh pengerusi syarikat perumahan SBJ terkenal di negeri itu, Datuk Tan Liang Chong, di Panji, dekat Kota Bharu, hari ini.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian ketika mengulas tindakan Zahrain yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas setelah keluar dari PKR.

Keputusan Zahrain itu dibuat kerana beliau tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis.

Nik Abdul Aziz berkata isu lompat parti atau keluar parti bukan sesuatu perkara yang baru, malah ia sudah lama berlaku dalam PAS sendiri.

Menurutnya, sama ada wakil rakyat yang sengaja melompat atau dilompatkan akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana setakat ini tidak ada wakil rakyat dari Kelantan yang bersikap demikian walaupun beberapa cubaan telah dibuat oleh pihak tertentu.

Katanya wakil rakyat dari Kelantan tidak keluar parti atau melompat parti kerana mereka berpegang teguh kepada amanah dan mandat rakyat yang memilih mereka.

Mengenai sambutan Tahun baru Cina, Nik Abdul Aziz berkata rakyat segenap lapisan digalakkan menghadiri majlis rumah terbuka masyarakat keturunan Cina, kerana ia tidak bercanggah dengan agama Islam.

- Bernama



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT