...

Pages

Thursday, June 30, 2011

Isu tanah wakaf Masjid Tengah telah di fitnah

Saya menafikan sekeras-sekerasnya fitnah yang dilemparkan pihak tertentu, kononnya kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengambil tanah wakaf Masjid Tengah, Jalan Burma dan menjualnya kepada pihak ketiga.

Tanah Masjid Tengah di Lot 205, Sek. 15 Georgetown, Daerah Timur Laut telah didaftarkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang ( MAINPP) pada 5 Januari 1993. Sehingga kini, tanah wakaf tersebut tetap milik MAINPP.Justeru, pihak tertentu diingatkan agar tidak menjadikan fitnah dan tohmahan sebagai makanan rohani. Kelak mereka akan dipertanggungjawab di depan Allah yang Maha Esa.

Berhubung penutupan jalan belakang ke Masjid Tengah, yang dibantah oleh penduduk baru-baru ini, MAINPP melalui Bahagian Wakaf telah mengadakan siasatan dan lawatan tapak pada 27 Jun 2011.

Siasatan mendapati, sememangnya terdapat kerja-kerja pembinaan struktur separuh konkrit dan berbumbung di atas Lot 206, Sek. 15 Georgetown, Daerah Timur Laut yang dimiliki oleh orang perseorangan (bersebelahan tanah MAINPP).

Malah, pemilik tanah juga didapati menutup laluan belakang ke masjid dengan binaan zink. Tindakan ini telah menyusahkan masyarakat Islam yang menggunakan laluan ke masjid sejak sekian lama. Saya difahamkan, penduduk telah merobohkan halangan binaan zink tersebut.

Saya mahupun Exco Kerajaan Tempatan, MPPP, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ( JHEAIPP) dan MAINPP tidak pernah menerima sebarang aduan berkaitan masalah ini, dan menafikan sekeras-sekerasnya tuduhan kononnya saya telah mengabaikan aduan daripada penduduk selama ini. Saya hanya mengetahui masalah tersebut melalui media pada hari Ahad 26 Jun 2011.

Pihak-pihak berkenaan juga telah menuduh MPPP, mungkin terbabit dalam rasuah kerana meluluskan pembinaan bangunan yang sedang dijalankan.

Hakikatnya, premis yang masih dalam pembinaan tersebut dibina tanpa kebenaran MPPP.

Ekoran itu, pada 11 Mei 2011, MPPP telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 72(1) Akta Parit dan Bangunan (AJPB) 1974, supaya menghenti dan merobohkan binaan tersebut.

Bahkan, pada 24 Jun 2011, notis-notis AJPB telah disempurnakan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan terhadap pihak yang berkenaan.

Sebagai Exco Kerajaan Tempatan dan Lalulintas YB Chow Kon Yeow, yang bertanggungjawab ke atas MPPP, telah melahirkan kekesalannya berhubung tuduhan itu dalam kenyataan medianya pada 28 Jun 2011.

Sebagai kerajaan berjiwa rakyat dan adil untuk semua, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu rundingan kepada mana-mana pihak.

Saya difahamkan pada 27 Jun 2011, YB Chow Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota telah mengadakan lawatan dan pertemuan dengan pentadbiran Masjid Tengah dan pihak-pihak terbabit untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Demi rakyat, saya yakin masalah yang timbul boleh diselesaikan secara fakta dan berhemah, tanpa perlu melontarkan fitnah kepada mana-mana pihak yang kini sedang menular di kalangan masyarakat dan didokong oleh media tertentu - YB Hj Malik Kassim Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang.

No comments:



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT