...

Pages

Friday, July 30, 2010

Serahkan Politik Kepada Ahli Politik, Kakitangan Awam Digesa Bersikap Profesional

KUALA LUMPUR 30 Julai - Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim menggesa Ketua-Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri menasihati kakitangan awam yang berkhidmat di negeri Pakatan Rakyat supaya menjalankan tugas secara profesional tanpa perlu melibatkan diri dalam aktiviti politik yang menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketika berucap dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 di Dewan Negara Selasa lalu Tunku Aziz berkata, kakitangan kerajaan Pusat yang berkhidmat di negeri Pakatan Rakyat kini menghadapi dilemma samada berkhidmat untuk kerajaan negeri atau mendengar arahan kerajaan Pusat.

"Terma kakitangan kerajaan di dalam Bahasa Inggeris ialah ‘civil servant’ yang sekiranya kita terjemahkannya menjadi ‘orang gaji kepada masyarakat sivil'. Jadi, peranan kakitangan awam ini ialah untuk memberi khidmat terbaik kepada majikan mereka iaitu kerajaan negeri yang berkuasa – tidak kira sama ada mereka ini daripada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Ucapan beliau ditujukan kepada isu pertikaian di antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pegawai kemajuan negeri, Nik Ali Mat Yunus yang didakwa cuba mensabotaj pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut Tunku Abdul Aziz lagi, kakitangan kerajaan perlu mengetahui keutamaan mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan tidak membuat keputusan untuk melengah-lengahkan arahan kerajaan negeri dengan alasan birokrasi.

Tegasnya, sekiranya keadaan itu berterusan, pentadbiran kerajaan negeri akan terjejas dan memberikan kesan buruk kepada rakyat.

"Dengan ini saya ingin mencadangkan kepada Ketua-ketua Setiausaha Kerajaan untuk menasihatkan kakitangan mereka supaya tidak bersikap seperti apa yang saya nyatakan.

"Terapkan sikap telus, bertanggungjawab yang harus ada pada seorang kakitangan kerajaan awam yang berkhidmat untuk rakyat bukan memuaskan nafsu ahli-ahli politik yang tidak mempunyai kuasa sah di dalam kerajaan," jelas Naib Presiden DAP itu.

Tunku Abdul Aziz turut menyentuh mengenai perkhidmatan klinik 1Malaysia yang tidak mempunyai perkhidmatan doktor dan kemudahan perubatan yang mencukupi.

Beliau juga mengulas mengenai dasar baru Kementerian Pelancongan memperkenalkan Visa Ketibaan (VOA) yang mengundang banyak masalah keselamatan.

"Pelaksanaan dasar ini kononnya untuk menggalakkan pelancongan di negara ini. Atas dasar ini, ratus ribuan warganegara India telah didapati ‘hilang’ di dalam rekod imigresen kita. Sekarang ini pun, kita sudah mempunyai banyak kes yang melibatkan pendatang tanpa izin dan kini kita dibebani dengan masalah hasil daripada VOA.

"Sekiranya kita mahu mengesani mereka yang masuk ke negara ini melalui VOA, kos yang terlibat berkali-kali ganda. Pihak yang terlibat akan mengalami kesukaran terutama sekali pihak imigresen dan polis," tegasnya.

Tuesday, July 27, 2010

Seminar Pecutan Akhir Menjelang Peperiksaan Akhir 2010


Assalamualaikum,

Tuan-puan yang di rahmati Allah semoga dalam keadaan yang sihat sejahtera. Sukacita dimaklumkan bahawa YB Abdul Malik Kassim akan mengadakan Seminar akhir Peperiksaan UPSR 2010. Setelah tuisyen percuma diadakan sekarang tibalah masanya untuk Murid-murid tahun 6 bersedia untuk menghadapi peperiksaan tersebut.

Dengan ini, saya bagi pihak YB Abdul Malik Kassim ingin memohon supaya menyebarkan pada anak-anak sahabat saudara tak kira fahaman politik untuk mendaftarkan diri dalam seminar ini. Semoga program ini dapat dijalankan dalam suasana yang dirahmati Allah. Dengan ini dilampirkan banner untuk rujukan saudara-saudari. Semoga kita dapat bertemu lagi pada tahun hadapan.

"CEKAP, TELUS, AKAUNTABILITI"

Saturday, July 24, 2010

Pegawai Kemajuan Bertanggungjawab Bantu Kerajaan Negeri

Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus digesa untuk tidak bersekongkol dengan Umno-BN mensabotaj urustadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Adun Pantai Jerejak Sim Tze Tzin berkata Nik Ali selaku penjawat awam di Pulau Pinang seharusnya membantu melicinkan perkhidmatan dan pentadbiran kerajaan negeri demi pembangunan dan kesejahteraan Pulau Mutiara.

Nik Ali sewajarnya melihat rungutan rakyat dan teguran kerajaan negeri berhubung isu pembangunan tertunggah dan projek-projek bermasalah tajaan Kerajaan Pusat sebagai motivasi untuk melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berdedikasi.

"Saya rasa Nik Ali tidak profesional. sebagai seorang penjawat awam dia kena ikut kehendak rakyat Pulau Pinang yang telah memilih Pakatan Rakyat," kata Sim.

"Sebagai penjawat awam dia tidak banyak membantu pembangunan Pulau Pinang malah ada pelbagai projek pembangunan dia banyak memberi halangan dan tidak memberi bantuan dari segi peruntukan dari Kerajaan Pusat dan sebagainya," jelas beliau lagi.

Pertelingkahan antara Kerajaan Negeri dan Nik Ali berpunca dari dakwaan Adun Pulau Betong Muhamad Farid Saad yang mendakwa perlombongan pasir secara haram berlaku di tapak pembinaan politeknik kerajaaan di Kampung Kenanga, Balik Pulau.

Oleh kerana tanah itu milik Kerajaan Pusat, projek itu dikatakan terletak di bawah bidang kuasa Pegawai Kemajuan Negeri lantikan Kerajaan Pusat.

Guan Eng berkata siasatan keatas dakwaan Pulau Betong itu sukar dijalankan kerana Nik Ali enggan bekerjasama dengan siasatan Kerajaan Negeri.

Menurut laman sesawang Pusat Maklumat Rakyat Jabatan Penerangan Malaysia, Nik Ali bertindak membidas teguran Guan Eng supaya beliau tidak kelihatan seperti seorang pengecut.

Tindakan Nik Ali mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang dikatakan bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 yang perlu berkhidmat di mana saja apabila diarahkan bertugas.

Selain dari itu projek bermasalah seperti Pintu Gerbang Taman Botani dan isu Pasir, Sim menjelaskan antara isu yang perlu diberi keutamaan oleh Nik Ali adalah membantu rakyat Pulau Pinang mendapatkan peruntukan kerajaan pusat yang menurut Sim sengaja dilengah-lengahkan.

"Isu sebenar adalah bagaimana kerajaan pusat membantu rakyat Pulau Pinang. tidak ada. kerana sekarang peruntukan Kerajaan Pusat tidak disalurkan dengan cepat, malah dilengah-lengahkan," kata Sim.

"Dia sekarang berselindung disebalik Umno Pulau Pinang. Dia kritik dan marah dengan kata-kata kesat. ini menunjukkan dia alat politik kepada Umno-BN," tambah beliau.

Wednesday, July 21, 2010

Pulau Pinang Mahu Kementerian Pertahanan Robohkan Sekolah Tentera Udara Yang Tiada Kelulusan MPPP

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu Kementerian Pertahanan merobohkan bangunan bertingkat sekolah tentera udara yang sedang dibina di Tanjung Bungah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, notis mengenainya telahpun dikeluarkan kerana kementerian itu menjalankan projek Sekolah Iktisas Tentera Udara (SITU) tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Pada Disember tahun lalu, beberapa penduduk membuat aduan mengenai kerja memasang cerucuk besi yang dilakukan di kawasan itu dan majlis perbandaran telah mengeluarkan notis amaran.

"Kemudian Mac lalu, majlis perbandaran sekali lagi menerima aduan bahawa kerja memasang cerucuk besi itu masih diteruskan termasuk pada cuti umum dan menghantar semula surat ke kementerian itu, memberitahu mereka mengenai keperluan untuk memohon kebenaran pembinaan.

"Kes itu turut dirujuk kepada penasihat undang-undang negeri (Datuk Faiza Zulkifli)," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Kata Guan Eng, Yang Dipertua MPPP, Patahiyah Ismail sudah memaklumkan kepada kementerian itu termasuk Ketua Setiausaha, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah pada 31 Mac lalu bahawa tindakan akan diambil jika pembinaan itu tidak dihentikan.

Beliau berkata majlis perbandaran telah menghantar notis kepada kementerian itu pada 6 Jun lalu mengikut seksyen 70 (1) Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 supaya pembinaan itu dirobohkan dalam tempoh 30 hari.

Pemeriksaan mendapati kerja pembinaan itu sudah mencecah empat tingkat. Ketinggian bangunan itu tidak diketahui memandangkan pelan tidak dihantar kepada majlis perbandaran.

Guan Eng menyalahkan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Nik Yunus kerana gagal berbuat sesuatu walaupun berulang kali dimaklumkan mengenai masalah itu.

"Memandangkan Nik Ali tidak melakukan tugasnya iaitu memantau projek itu, kami terpaksa menghubungi kementerian kerana ia melibatkan tanah persekutuan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow menggesa kementerian itu untuk patuh kepada prosedur negeri mengikut perintah Kabinet.

"Kami berharap mereka akan melakukan perkara sewajarnya jadi kami boleh mengelakkan bangunan itu daripada dirobohkan. Kami boleh membantu jika mereka menyerahkan dokumen yang sepatutnya. Jika tidak, kami terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

Kon Yeow berkata, ini bukan kali pertama kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai projek persekutuan.

Katanya, dua kem Khidmat Negara di Balik Pulau beroperasi tanpa sijil layak menduduki.

"Kami hanya membenarkan mereka meneruskan operasi kerana mereka sanggup bertanggungjawab terhadap keselamatan semua pelatih," katanya

Monday, July 19, 2010

PAC siasat kes curi pasir di Balik Pulau

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Pulau Pinang akan mengadakan inkuiri untuk menyiasat aktiviti mencuri pasir di Kampung Kenanga, Balik Pulau di Georgetown.

Pengerusinya, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat berkata PAC akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi menentukan pihak yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Antara pihak yang mungkin akan dipanggil ialah beberapa agensi kerajaan untuk membantu mencari pihak yang bertanggungjawab dalam aktiviti mencuri pasir itu," katanya kepada pemberita di Georgetown, hari ini.

Katanya PAC akan menyiapkan siasatan itu secepat mungkin bagi mengelak orang ramai membuat pelbagai spekulasi berhubung perkara itu.

Beliau berkata pihaknya akan turut melawat kawasan terlibat dan siasatan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Jagdeep berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai aktiviti mencuri pasir di kawasan lain di Pulau Pinang.

Minggu lalu, laporan akhbar mendedahkan tapak politeknik di Kampung Kenanga itu, diceroboh pencuri pasir.

Menurut laporan itu, setiap malam berpuluh lori keluar masuk ke kawasan itu mengambil pasir untuk dihantar ke lokasi yang tidak dipastikan.

Friday, July 16, 2010

KENAIKAN HARGA: TIDAK PRIHATIN DAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB


Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu. Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia. Dato’ Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.


Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan. Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.


Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan. Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional. Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.


Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.


Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera. Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU).


Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan. Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.


Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat.


Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat. Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.


Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.


Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.


Oleh itu, saya menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara. Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni.


DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

Ketua Pembangkang Malaysia


Saturday, July 10, 2010

Pakatan: 'Gerakan - versi bukan Melayu PERKASA'

Pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang berang dengan Gerakan yang menuduh Ketua Menteri, Lim Guan Eng berat sebelah dalam pelaksanaan polisi di negeri itu dan menyifatkan tindakan mereka tidak ubah seperti kumpulan pelampau Melayu - PERKASA yang diterajui oleh Datuk Ibrahim Ali.

Ahli pergerakan belia itu sebelum ini mempertahankan Lim di sudut pidato di Esplanade ketika Gerakan melemparkan tuduhan berkenaan.

Hari ini, kira-kira 30 ahlinya berhimpun di markas pejabat Gerakan di Jalan Macalister bagi mendesak parti komponen BN itu supaya memohon maaf.

Mereka tidak berpuas hati dengan keceluparan setiauasha Gerakan Kedah yang mendakwa Lim melayan orang Melayu dengan lebih baik dengan memperuntukkan dana kepada mereka.

“Gerakan bermain api apabila cuba meniupkan sentimen perkauman dengan menimbulkan isu peruntukan kewangan yang diberikan kepada kaum-kaum di Pulau Pinang, kata setiausaha Pakatan Pulau Pinang, Ng Wei Aik di luar pejabat Gerakan.

“Ini me
nunjukkan Gerakan bukan lagi parti pelbagai kaum tetapi telah menjadi seperti PERKASA yang terus mempersoalkan mengenai peruntukan berhubung hal ehwal pembangunan Islam di negeri ini,” katanya.

Ng membidas Gerakan dan berkata dakwaan mereka tidak berasas kerana dana yang diperuntukkan itu adalah untuk keperluan sesuatu komuniti tanpa mengira latar belakang kaum, agama, jantina serta pautan politik mereka.

“Setiap tahun kita memperuntukkan RM9.55 juta untuk pendidikan termasuk untuk sekolah-sekolah Cina, Tamil dan agama Islam,” katanya.

“Dakwaan Gerakan, bahawa hanya RM8 juta untuk bukan bumiputera adalah gimik politik dan tidak berasaskan fakta,” katanya.

Kenyataan Gerakan di sudut pidato itu menimbulkan kemarahan sekumpulan penduduk tua yang membidas pemimpin mereka kerana Lim dituduh mendiskriminasi masyarkat bukan Melayu.

Sem
entara itu, wakil PAS Mohamed Farouk yang juga berada pada bantahan ini menggesa Gerakan supaya memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan menguris sentimen rakyat Pulau Pinang.

“Jangan jadi seperti Umno yang berterusan memainkan sentimen perkauman bagi memecahkan perpaduan di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu,” katanya.

“Dengan berbuat demikian, Gerakan menimbulkan masalah dan rasa kebencian bukan sahaja di kalangan penduduk pelbagai kaum tetapi juga di kalangan masyarakat Cina,” tambahnya.

Tuesday, July 6, 2010

Jumlah pelancong ke Pulau Pinang meningkat


GEORGETOWN, 6 Julai: Pulau Pinang yang sememangnya merupakan sebuah destinasi menarik dan popular bagi pelancong tempatan dan luar negara telah berjaya meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan Negeri, Law Heng Kiang, pelancong dari Timur Tengah menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi menarik mereka untuk dikunjungi mulai Jun hingga September.

Law juga berkata, terdapat beberapa tarikan yang menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi kunjungan mereka setiap tahun.

Katanya, tarikan dari pihak hotel juga menjadi salah satu peranan penting apabila mereka mempelbagaikan aktiviti dan program bagi menarik pelancong dari negara yang telah dikenal pasti mengunjungi negeri ini.

Promosi seperti 'Arabian Night' yang diperkenalkan itu menarik perhatian mereka di samping promosi lain yang membolehkan mereka mengunjungi Pulau Pinang, ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan pihak hotel membuat penajaan dari segi tarian kebudayaan dan mengatur acara khas untuk pelancong khususnya dari Timur Tengah.

Sebagai bukti, ujarnya jumlah pelancong yang mendiami hotel-hotel seperti Rasa Sayang dan Golden Sands di Batu Ferringhi meningkat kepada 15 peratus pada bulan Jun yang lalu.

"Manakala pada bulan Julai ia meningkat mendadak kepada 40 peratus. Ini adalah kerana tarikan yang dilakukan dengan mempelbagaikan budaya Timur Tengah sepertimana yang pernah dilakukan oleh hotel Shangri La dan hotel-hotel yang lain," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lanchang berkata, jumlah keseluruhan pelancong meningkat sebanyak 35 peratus jika dibandingkan mulai Januari hingga Mac 2009 apabila hanya 318,912 pelancong yang masuk ke Pulau Pinang.

Manakala dalam tempoh yang sama pada tahun 2010 seramai 430,355 pelancong berjaya dibawa masuk ke negeri ini,” katanya.

"Usaha gigih yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong akan diteruskan supaya ia bukan saja dapat memberi peluang meningkatkan ekonomi kepada penduduk negeri ini tetapi juga kepada pihak kerajaan," katanya lagi

Friday, July 2, 2010

Pulau Pinang setuju LA bukan dari Peguam Negara

BUKIT MERTAJAM, 2 Julai: Selepas Kelantan, Pulau Pinang pula setuju cadangan agar Penasihat Undang-undang (LA) dilantik sendiri oleh kerajaan negeri bukannya dari Jabatan Peguam Negara namun buat masa ini akan kekal dengan kakitangan yang ada.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menyokong cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua negeri yang ditadbdir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) melantik Penasihat Undang-Undang sendiri.

Langkah ini akan menghentikan amalan yang menjadi tradisi kerajaan yang lalu apabila penjawat jawatan tersebut diisi oleh wakil dari Jabatan Peguam Negara.

Menurut Lim lagi, cadangan tersebut adalah suatu proposal yang baik bagi mengelakkan berlakunya tindakan cuai pegawai yang dilantik oleh Kerajaan Pusat.

"Tindakan ini adalah baik kerana sebagaimana yang kita ketahui pegawa-pegawai ini adalah lantikan daripada Kerajaan Pusat yang mewakili kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta menimbulkan pelbagai masalah kepada pentadbiran negeri.

"Walau bagaimanapun setakat ini Pulau Pinang akan terus menggunakan khidmat nasihat daripada pegawai yang sedia ada, memandangkan Penasihat Undang-Undang tersebut adalah wakil kepada Kkrajaan negeri dalam semua urusan yang berasaskan perundangan dan mereka harus berurusan melalui saya terlebih dahulu,"katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, semua tindakan yang akan diambil perlu terlebih dahulu mendapat arahan daripada Exco Kerajaan Negeri dan Pulau Pinang masih lagi mengekalkan Penasihat Undang-Undang sedia ada.

Lim berkata demikian semasa bercakap kepada media di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Thursday, July 1, 2010

Pakatan ajak BN bantah kenaikan tol

PULAU PINANG, 1 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) menjemput semua parti komponen Barisan Nasional (BN) menyertai mesyuarat bersama dengan Pakatan Rakyat negeri berbincang mengenai bantahan kenaikan kadar tol Jambatan Pulau Pinang.

Jelasnya, kenaikan harga tol bukan masalah politik sebaliknya menjadi beban kepada rakyat, maka wajar penentangan bersama diadakan.

"Mesyuarat Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan diadakan pada 3 Julai ini. Perbincangan utama ialah tentang kenaikan harga tol jambatan dari RM7 ke RM9.40 mulai 2013 nanti.

“Penentang kena dibuat sekarang, tidak guna bila semuanya dah setuju," ujarnya.

Sehubungan itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon disaran menanggalkan fahaman politik sempit untuk bersama-sama Pakatan Rakyat membantah kenaikan tol yang dilihat tidak munasabah.

“Kita harus duduk semeja mengatakan bantahan ekoran kenaikan tol Jambatan Pulau Pinang. Kita mesti tolong rakyat yang tertindas bukan mengambil kesempatan menekan mereka,” ujarnya lagi.

Jika Koh Tsu Koon berani, tambahnya, beliau ke hadapan dalam isu itu, bukan mengatakan sokongan terhadap tindakan menaikkan kadar tol itu.

Sebagai sebuah kerajaan yang pernah memerintah Pulau Pinang, katanya BN harus prihatin dengan cadangan kenaikan tersebut sebab rakyat di kedua-dua belah sama ada pulau atau tanah besar sering menggunakan jambatan untuk berulang alik ke tempat kerja atau menziarahi keluarga.

"BN sepatutnya lebih prihatin dalam isu ini, bukan diam membisu dengan membiarkan Pakatan Rakyat sahaja berkokok. Yang lain kena ambil bahagian sama," tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Puteh.



KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT