PKR Pulau Pinang hari ini mencabar kumpulan 97 anggota dari cabang Bayan Baru dan Tanjong di Georgetown supaya membuktikan tindakan mereka keluar dari parti itu.
Naib Pengerusinya Abdul Malik Abul Kassim berkata jurucakap kumpulan itu perlu menunjukkan nama dan surat peletakan keahlian semua 97 anggota yang didakwa telah menyertai Kongres India MuslimMalaysia (Kimma).
"Saya tidak percaya mereka telah melompat ke Kimma kerana saya sendiri tahu bilangan ahli keturunan India Muslim di dua cabang itu," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.
Abdul Malik, yang juga exco agama, perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna negeri, berkata tindakan ketua kumpulan itu adalah kerana rasa cemburu dan isu kekeluargaan ekoran pelantikan salah seorang saudaranya.
Pada Sabtu lalu, ketua kumpulan itu, Mohamed Ibrahim A Siahoo, memberitahu media bahawa 97 anggotra itu keluar dari parti selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR.
Beliau mendakwa PKR gagal membela nasib dan kebajikan rakyat sebelum menyerahkan borang untuk menganggotai Kimma.